Sambutan Bulan Kebangsaan & Hari Malaysia Peringkat Menara Persekutuan meriah
AYER KEROH 26 September – Sebanyak 28 agensi kerajaan bergabung bagi menjayakan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Menara Persekutuan Melaka bagi tahun 2022, baru-baru ini.
Penyelaras program, Muhamad Rizal Abdul Rasol berkata penglibatan kesemua agensi itu bertujuan memeriahkan sambutan selepas dua tahun tidak diadakan secara besar-besaran.
“Sambutan kali ini secara tidak langsung mengingatkan masyarakat mengenai sejarah perjalanan menuju kemerdekaan selain menyuntik dan menyemarakkan semangat patriotisme.
“Terdapat 24 aktiviti dan pertandingan dianjurkan antaranya gotong-royong, ceramah kemerdekaan, tayangan filem Bukit Kepong, pertandingan nyanyian lagu kebangsaan, baju kebangsaan serta sajak kemerdekaan,” katanya.
Turut menyertai sambutan adalah murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Ayer Keroh, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Lintang, SJKT Durian Tunggal, SJK(C) Ayer Keroh dan SJK(C) Bukit Beruang.
Katanya, murid berkenaan mengambil bahagian dalam pertandingan kuiz (Quizizz) kemerdekaan dan bahasa.
“Sambutan tersebut dilaksanakan Jawatankuasa Induk Penyelarasan dan Penyelenggaraan Bangunan Guna sama Menara Persekutuan (JPPBGS),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.