Sambutan 76 tahun: RTM perlu ‘rejuvenasi’ untuk kekal relevan – Annuar
KUALA LUMPUR, 1 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu diberi proses ‘rejuvenasi’ atau ‘meremajakan’ supaya dapat bersaing dan terus kekal relevan dalam perkhidmatan penyiaran masa kini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata RTM perlu menyesuaikan diri dan bersedia menghadapi sebarang perubahan dari semua sudut khususnya berkaitan dengan perkhidmatan yang diberi.
“Dalam erti kata lain, RTM perlu berubah atau ‘transform’. RTM kini boleh dikira berada pada peringkat fasa matang. Apabila matang, RTM sebagai organisasi, perlu diberi proses ‘rejuvenasi’ atau ‘meremajakan’ supaya ia tidak ‘menua’,” katanya dalam ucapan perasmian sempena sambutan Ulang Tahun Hari RTM ke-76 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Mohammad Mentek.
Annuar berkata transformasi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, maka RTM tidak boleh berhenti daripada berusaha memikirkan penambahbaikan, membuat perubahan dan melaksanakan pembaharuan pada setiap aspek perkhidmatan.
Katanya, elemen kreativiti dan inovatif perlu ditekankan dalam usaha mencari idea dan kaedah menambah baik, seterusnya merangka tindakan strategik praktikal serta berkesan supaya perubahan dapat dihasilkan dengan jayanya.
“Saya difahamkan bahawa Pelan Transformasi RTM sedang dilaksanakan sejak tahun lepas dan langkah pembaharuan dan penambahbaikan juga sedang dilakukan ke atas ketiga-tiga platform penyiaran RTM.
“Saya juga dimaklumkan bahawa proses transformasi digerakkan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun (2021-2023),” katanya.
Justeru, beliau menyarankan setiap cadangan penambahbaikan dan pembaharuan yang dirangka dirancang berasaskan data dan penemuan kajian.
Ini katanya, perancangan berpandukan data-data yang tepat adalah sangat penting, supaya RTM tidak terperangkap dengan keadaan selesa dan berasa ‘syok sendiri’.
Beliau berkata cita rasa audien dan aspirasi pihak berkepentingan juga sangat mustahak dan perlu diambil kira dalam agenda transformasi baik bagi saluran TV, stesen radio, mahupun di platform media digital RTM.
Dalam pada itu, Annuar berkata selaku badan penyiar rasmi kerajaan, RTM tetap konsisten dalam menyempurnakan tanggungjawab untuk menyebarluaskan maklumat dan berita ke seluruh negara.
Beliau memberikan contoh, semasa negara dilanda bencana banjir besar pada 18 Disember tahun lepas, siaran berita mengenai bencana banjir di saluran TV dan radio RTM dibuat setiap sejam sekali.
Katanya berdasarkan data, sebanyak 3,120 buletin dan 10,827 bahan berita banjir telah disiarkan.
“Saya merakam ucapan tahniah kepada RTM, khususnya pasukan berita, kerana berkat kesungguhan mendapatkan bahan berita dan membuat pelaporan segera, sedikit sebanyak telah membantu menaikkan imej kerajaan pada pandangan dan persepsi rakyat,” katanya.
Sementara itu, dalam acara sama Mohammad turut melancarkan Pelan Strategik RTM 2021-2025 yang antara lain mengandungi perancangan bersepadu, sistematik serta dinamik untuk pembangunan komprehensif RTM.
Turut dilancarkan peningkatan saluran TV Okey kepada definisi tinggi (HD).
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.