Sambut Hari Kebangsaan 2020 cara sendiri
JASIN 25 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2020 pastinya memahat sejarah sejak 63 tahun Malaysia Merdeka apabila tiada sambutan perarakan lintas langsung diadakan sebagaimana kebiasaan sebaliknya meraikan sambutan itu mengikut norma baharu.
Bagaimanapun, perkara itu bukan menghalang untuk rakyat di negara ini menyambut Hari Kebangsaan dengan cara tersendiri sebagai tanda cintakan negara.
Bagi D. Prabharan, 44 sebagai rakyat, adalah amat penting mematuhi segala arahan ditetapkan kerajaan demi kebaikan semua pihak kerana virus Covid-19 merupakan musuh yang tidak nampak dari mata kasar.
Bagaimanapun katanya, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini pastinya memberi kenangan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tiada sambutan besar-besaran diadakan.
“Ia satu keunikan bagi sambutan tahun ini kerana kita hanya meraikan sambutan itu di rumah namun pada masa sama memberi kebaikan kepada semua rakyat supaya tidak bersesak di tempat awam.
“Sebagai rakyat, Hari Kebangsaan tetap disambut, namun dengan cara kita sendiri,” katanya.
Sementara itu, Nur Izzati Ismail, 25 berkata meskipun tidak menghadiri sambutan perarakan seperti tahun sebelumnya, namun dia dan keluarga akan menggantung bendera seperti kebiasaan.
“Semangat cintakan negara tidak semestinya hanya meraikan sambutan secara besar-besaran sebaliknya menghormati arahan kerajaan supaya negara kita terus merdeka dari pandemik Covid-19,” katanya.