SAMB kenal pasti tapak bina kolam takungan air terawat berpusat
BANDARAYA MELAKA 24 April. – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB)mengenal pasti tanah di kawasan Taman Malim Jaya untuk dijadikan tapak pembinaan Kolam Takungan Air Terawat Berpusat.
Timbalan Pengerusi SAMB Datuk Zaidi Attan berkata, kolam takungan berkapasiti lapan juta liter itu sekali gus diyakini dapat menyelesaikan masalah bekalan air sekitar kawasan Malim Jaya, Cheng dan Pokok Mangga.
“Tindakan jangka masa panjang ini dapat menyelesaikan masalah bekalan air melibatkan 5,260 akaun pengguna.
“Terdapat juga cadangan pembinaan kolam bagi Kolam Taman Kota Laksamana (827 akaun), Kolam Melaka Raya (1,905 akaun) dan Kolam Taman Merdeka (8,692 akaun),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Isu Permasalahan Tekanan Air Kawasan Taman Merdeka, Malim Jaya, Cheng dan Pokok Mangga di Wisma Air SAMB, semalam.
Jelasnya, setakat ini projek itu berada pada peringkat pengambilan tanah yang menelan belanja RM32.4 juta dan dijangka siap pada 2023.
“SAMB memandang serius dan sentiasa mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini.
“Bagaimanapun, Badan Pengurusan Bersama (JMB) juga perlu memastikan semua flat/pangsapuri mengambil tanggungjawab.
“Ini termasuklah memastikan sistem retikulasi diselenggara dengan baik dan berkala serta sistem bekalan air yang diluluskan dipatuhi,” katanya lagi.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Abd Rashid Ab Rahman dan Ketua Pegawai Operasi SAMB, Ir Zainal Abidin Ab Rahman.
Ends..
Samb 1 – ZAIDI (depan, tengah) bergambar bersama selepas sidang media tersebut di Wisma Air SAMB, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.