
SAMB BERI KEBENARAN SEWA TANAH KEPADA MITCH BINA PENCAWANG, TIDAK GANGGU BEKALAN AIR
Seri Negeri 29 April – Kebenaran menyewa tanah milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi pembinaan pencawang telekomunikasi oleh Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MITCH) tidak menjejaskan operasi sistem bekalan air sedia ada.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata meskipun pembinaan itu mendapat bantahan besar penduduk di Sungai Udang namun permohonan pembinaan terbabit melalui proses penilaian yang ketat.
Katanya, setiap permohonan untuk pembinaan infrastruktur pihak ketiga di atas tanah milik SAMB hanya diberikan sekiranya tidak menjejaskan operasi atau keselamatan sistem bekalan air sedia ada.
“Tapak yang dimaksudkan sehingga mendapat bantahan itu sebenarnya merupakan tapak cadangan pembinaan tangki air yang telah diserahkan oleh peneraju kepada SAMB sebelum tahun 2015.
“Namun hasil semakan dan penilaian semasa mendapati tiada keperluan untuk pembinaan tangki air di kawasan tersebut kerana telah wujud kolam takungan air bersih.
“Kolam takungan air tersebut cukup kapasiti serta sistem agihan yang boleh dimodifikasikan untuk mendapat tekanan yang mencukupi bagi bekalan ke seluruh kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr.Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) mengenai usaha baik pulih air di Kem Terendak dan kawasan sekitar pada pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Terdahulu, Dr.Aleef bertanya bagaimana SAMB boleh memberikan kebenaran menyewa bagi pembinaan pencawang telekomunikasi kepada MITCH sehingga menyebabkan bantahan besar penduduk di kawasan Sungai Udang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.