Sorting by

×

DidikTV KPM platform perkasa budaya ilmu – PM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PUTRAJAYA 17 Feb. – DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) yang mula bersiaran hari ini dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam diharap menjadi platform memperkasa budaya ilmu dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

Saluran khusus TV Pendidikan itu boleh ditonton setiap hari menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengenalan saluran pendidikan terbaharu itu merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Jelasnya, DidikTV KPM akan menyiarkan program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM selain berita dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga Tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

“Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.

“Saya yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian.

“Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV KPM, hari ini.

Pada masa sama, beliau menzahirkan harapan agar program pendidikan yang disediakan mendapat sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa.

“Marilah kita semua bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, DidikTV KPM merupakan inisiatif terbaharu kerajaan dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada murid selepas negara dilanda pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu.

Dalam usaha mempelbagaikan sumber pembelajaran serta bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses Internet atau peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, KPM telah menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial yang disiarkan di dalam platform televisyen, antaranya TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV KPM.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Mahkamah Tinggi Melaka tolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh KAJD
Next post Konflik manusia-gajah di Sabah perlu segera dinoktahkan
Ubah saiz-+=