Sorting by

×

Salah guna surat majikan rentas daerah jual dadah

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Pekerja kargo sebuah syarikat penerbangan diberkas polis ketika membawa masuk satu kilogram dadah ke negeri ini menggunakan surat kebenaran rentas negeri diberikan majikannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, lelaki bujang berusia 25 tahun itu ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk Plaza Tol Ayer Keroh kira-kira jam 9 malam Rabu lalu.

Menurut beliau, suspek terdahulu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum pihak polis melakukan pemeriksaan lanjut terhadapnya.

“Hasil pemeriksaan polis menjumpai dadah disyaki syabu di dalam sebuah beg sandang dalam kereta dipandunya.

“Dadah dianggarkan seberat satu kilogram bernilai kira-kira RM36,000 itu adalah cubaan pertama suspek membawanya  masuk untuk pasaran negeri ini.

“Ketika diperiksa, pekerja kargo sebuah syarikat penerbangan itu turut membawa bersama surat kebenaran rentas negeri diberikan majikannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu sebelum direman selama tujuh hari sehingga 16 Jun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah yang mana membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama kerana positif dadah.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

956
Kongsi :
Previous post Warga Malaysia dihukum penjara selepas 20 tahun melarikan diri
Next post Akauntan rugi RM104,000 ditipu peraduan menang wang
Ubah saiz-+=