Salah guna identiti individu lain demi vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 22 Ogos – Tiga wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai menyalah guna identiti individu lain demi mendapatkan pendaftaran vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera, Rabu lalu.

Suspek berusia antara 35 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka di dua lokasi berasingan antara jam 2.30 hingga 7 petang di sekitar Banda Hilir dan bandar Melaka.

Ketua JSJK negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, pihaknya menerima laporan daripada sebuah klinik di Banda Hilir, di sini memaklumkan seorang wanita warga asing dipercayai melakukan kesalahan itu.

Katanya, susulan itu polis menahan wanita berkenaan dan merampas kad vaksin atas nama suspek, kad pas lawatan dan salinan pasport tamat tempoh serta telefon bimbit.

“Hasil siasatan lanjut terhadap tangkapan pertama, polis menahan dua lagi wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan di rumah di sekitar daerah Melaka Tengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga Sabtu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu menggunakan identiti lain bagi tujuan pendaftaran vaksin COVID-19.

“Polis turut menyiasat kes mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15 (1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa,” katanya.

Dalam pada itu, Sunda Rajan berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan polis mengenai maklumat pengenalan diri digunakan individu lain bagi tujuan pendaftaran suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

559
Kongsi :
Previous post Barisan Kabinet diumum minggu ini
Next post JPJ Melaka buka kaunter pandu lalu
Ubah saiz-+=