Sakit lutut selamatkan Ratnah dan anak daripada penyamun bank

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KOTA TINGGI 19 Jun – Kesakitan lutut yang dialami seorang ibu membolehkan pengawal keselamatan mencuri peluang lalu menembak mati seorang lelaki yang cuba menyamun sebuah bank dan menjadikan anaknya tebusan dalam satu kejadian di Felda Ayer Tawar 5, dekat sini, petang semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Ratnah Ahab, 56, berkata ketika kejadian kira-kira 2 petang itu, dia dan anaknya, Mardiah Mat Ripi, 26, sedang beratur untuk urusan perbankan di dalam bank setelah melepasi saringan kesihatan di bank berkenaan.

“Tiba-tiba datang sorang lelaki memakai kemeja T dan bertutup muka memeluk Mardiah dari arah belakang sambil mengacukan sebilah sabit di leher anak saya.

“Saya terkejut dan masa kejadian itu, pelanggan bank hanya ada enam orang termasuk kami dua beranak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belading Baru, Telok Sengat, di sini, lewat malam tadi.

Sambil mengheret Mardiah, perompak itu sempat menutup pintu bank, katanya lagi.

Ratnah, yang bekerja di Ladang Sawit Telok Sengat itu, sambil merayu kepada perompak untuk tidak mengapa-apakan dan melepaskan anaknya, sempat bertanya kepada suspek berkenaan mengapa berbuat demikian.

Lelaki bertopeng itu berkata dia hanya memerlukan RM20,000 sahaja.

Sebelum itu, perompak berkenaan telah mengugut untuk mencederakan Mardiah jika tuntutannya mendapatkan RM20,000 berkenan tidak dipenuhi oleh pihak bank.

Sementara itu, pegawai bank serta kakitangan yang berada di dalam bank itu sedang berusaha memasukkan wang ke dalam sebuah beg galas berwarna putih sebagaimana yang diarahkan oleh perompak terbabit.

Sejurus melepaskan Mardiah, perompak berkenan menerpa ke arah Ratnah sambil mengacukan sabit namun wanita itu terjatuh dan tidak berupaya bangun akibat sakit lutut yang dialaminya.

“Pada masa itulah, saya terdengar letupan tembakan dari arah kaunter bank. Saya nampak perompak itu rebah ke lantai dan berlumuran darah sementara sorang pelanggan lain melemparkan sabit itu jauh dari tangan perompak itu,” katanya yang masih mengigil ketakutan akibat trauma.

Beliau dan anaknya turut menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi dan disahkan baik kecuali mengalami sedikit trauma akibat peristiwa berkenaan.

Sementara itu, kediaman Ratnah terus dikunjungi saudara-mara dan jiran sekampung bagi mengucapkan syukur kerana terselamat dalam kejadian rompakan terbabit.

Pada kejadian yang berlaku selama kira-kira setengah jam itu, seorang lelaki berusia 19 tahun ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan menggunakan ‘pump gun’ ketika cuba menyamun sebuah bank serta menahan tebusan.

– BERNAMA

Views:

453
Kongsi :
Previous post Pasangan Indonesia larikan diri selepas positif Covid-19 berjaya dikesan
Next post Seorang pegawai kanan polis ditahan SPRM selepas disyaki meminta dan menerima rasuah
Ubah saiz-+=