Saingan Piala FA musim 2021 dibatalkan: MFL

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk membatalkan saingan Piala FA manakala sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2021 ditunda ke 5 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kecuali Sarawak hingga 4 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan untuk mengeluarkan saingan Piala FA daripada kalendar musim ini perlu dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan jadual dan mengelak pasukan terbeban dengan jadual padat, sekali gus memberi impak kepada kualiti Liga-M.

“MFL juga membuat keputusan kalendar Liga-M musim 2021 menyaksikan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

[adrotate banner=”3″]

Tahun lalu, MFL terpaksa membatalkan kempen Piala FA dan Piala Malaysia berikutan pandemik COVID-19, manakala saingan Liga Super dan Liga Premier terpaksa dipendekkan.

Sementara itu, Ab Ghani berkata keputusan untuk meminda tarikh permulaan liga dari 26 Februari, dicapai menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian, selain turut mengambil kira pandangan dan persetujuan daripada wakil-wakil pasukan dalam satu taklimat khas semalam.

Beliau berkata MFL akan menyediakan beberapa mekanisme seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan saingan musim ini berjalan lebih efektif dan selamat selain menghindari segala prospek pandemik COVID-19.

Orang ramai mengetahui status pandemik COVID-19 berada di paras cukup membimbangkan selain kebergantungan status PKP memainkan faktor tetapi MFL mahu bersedia dengan lebih awal, kata beliau.

“Selain permintaan rakan kongsi yang mahukan persiapan sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum sepak mula, MFL juga mengambil kira faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga-M dicapai secara bersama.

“MFL bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara berhubung penyediaan SOP latihan dan kita akan sekali lagi membentangkan cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan Liga-M musim ini berjalan bebas daripada sebarang gelaja COVID-19,” katanya.

Mengikut perancangan awal, Liga-M sepatutnya membuka tirai dengan perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, menyaksikan pertembungan juara dan naib juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada 26 Februari ini.

Menurut Ab Ghani, MFL juga mempunyai beberapa lagi mekanisme untuk memulakan kempen Liga-M 2021 jika PKP dilanjutkan selepas 4 Februari.

Views:

563
Kongsi :
Previous post Hospital Melaka masih mampu beroperasi walaupun 32 kakitangan positif COVID-19
Next post KPM tambah slot TV Pendidikan menerusi program DidikTV@NTV7
Ubah saiz-+=