Sorting by

×

SAGU HATI UNTUK PENGUSAHA KUPANG, KERANG

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SUNGAI RAMBAI 23 Disember – Kesukaran ditempuh pengusaha kupang dan kerang di negeri ini mendapat perhatian Kerajaan Negeri menerusi sumbangan sagu hati keseluruhan berjumlah RM98,000 kepada semua mereka yang terjejas.

Sumbangan sagu hati itu diagihkan kepada 98 penguasaha kupang dan kerang yang sebelum ini terjejas punca pendapatan hampir enam bulan susulan larangan menuai hasil ternakan itu akibat pencemaran biotoksin di perairan Melaka serta Negeri Sembilan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata atas rasa simpati Kerajaan Negeri menyalurkan sagu hati itu bagi membantu kesemua pengusaha yang terkesan.

“Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan sagu hati RM1,000 kepada setiap pengusaha, inisiatif ini menunjukkan tanda kasih dan simpati kita terhadap mereka. Sudah tentu kita tidak mahu pencemaran di perairan ini terjadi, tetapi apabila berlaku pencemaran maka tindakan kita adalah menghalang mereka mengambil hasil tuaian.

“Alhamdulillah, pengusaha ditemui meluahkan rasa syukur mereka kerana sagu hati itu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan atau peralatan seperti tali kupang dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Sumbangan Sagu Hati Kepada Pengusaha Dwicengkerang (Kupang dan Kerang) Yang Terjejas Akibat Larangan Penuaian dan Penjualan Hasil Ternakan di Jeti Nelayan Kuala Sebatu di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia; Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negei (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib.

Dr. Muhamad Akmal berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga telah meluluskan peruntukan RM70,000 bagi bantuan dwicengkerang.

“Mungkin peruntukan ini kita boleh agihkan dalam bentuk bantuan barangan, kita mahu membantu mereka yang terkesan akibat pencemaran berlaku. Terbaharu saya dimaklumkan pencemaran sudah pulih, jadi pengusaha terbabit sudah boleh mula mengutip hasil seperti sedia kala,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post INISIATIF ‘IDEAL’ MAMPU TARIK LEBIH RAMAI PELABUR KE MELAKA
Next post JUAL BOT LAMA ATAU GUNA UNTUK TUAI HASIL KUPANG, KERANG
Ubah saiz-+=