Safety Nite Rider Alor Gajah 2023 promosi TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 26 November – Lebih 520 peserta berbasikal menyertai Program ‘Safety Nite Rider Alor Gajah 2023’ yang bermula di Dataran Keris, di sini malam tadi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr Saifuddin Abdul Karim berkata dalam program yang julung kali diadakan itu, semua  peserta berkayuh sepanjang 20 kilometer.

Katanya, rata- rata penyertaan yang diterima daripada Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.

“Program ini bukanlah pertandingan sebaliknya kita hanya buat berkonsepkan riadah malam dan santai.

“Peserta berbasikal dilepaskan bermula di Dataran Keris seterusnya melalui Jalan Dato Dol Said, Jalan Alor Gajah, Jalan Masjid Tanah, Jalan Lendu Hilir, Jalan Ayer Pa’abas, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ), Jalan Paya Datuk, Jalan Besar Alor Gajah dan tamat di Dataran Keris semula.

“Objektif program ini adalah bagi mempromosikan Alor Gajah sebagai destinasi pelancongan dan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) seterusnya menjadikan sukan berbasikal sebagai aktiviti riadah di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program ‘Safety Nite Rider Alor Gajah 2023’ yang dirasmikan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Dataran Keris, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin  berkata penganjuran program terbabit juga bagi menyahut seruan kerajaan selaras dengan tema gaya hidup sihat.

Tambahnya, pada program terbabit pihaknya turut memberikan hadiah cabutan bertuah utama berupa ‘motorbike off road’.

“Selain ‘motorbike off road’ yang diberikan kepada peserta untuk cabutan bertuah, MPAG turut memberikan basikal ‘mountain bike’, tiga unit kamera serta empat unit dron kepada peserta bertuah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

975
Kongsi :
Previous post Geng motor ‘lejen’ berkonvoi sambil beramal
Next post MPAG giat indahkan Alor Gajah sempena TMM2024
Ubah saiz-+=