RXZ MEMBERS SANTUNI PELAJAR MADRASAH TAHFIZ TELOK MAS
TELOK MAS 6 Disember – Lebih 30 ahli komuniti RXZ Members berkonvoi untuk menyantuni penghuni Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Telok Mas Melaka (MTQQTM) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dianjurkan.
Lebih menarik Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas turut berkonvoi dengan menunggang motosikal untuk ke MTQQTM.
Abdul Razak, ketika ditemui memuji keprihatinan komuniti RXZ Members yang sanggup meluangkan masa untuk menyantuni penduduk di Negeri Melaka menerusi program kemasyarakatan itu.
“Pertama sekali terima kasih saya ucapkan kepada komuniti RXZ Members kerana sudi untuk menanjurkan program RXZ Members Ride Edition 2.0 2024 Melaka Attack! di negeri Hang Tuah ini. Kedua saya mengucapkan terima kasih kepada Pengetua MTQQTM kerana sudi menerima kehadiran komuniti RXZ Members bagi meraikan anak-anak madrasah tahfiz ini.
“Meskipun datang untuk berhimpun di Dataran MITC, bersempena program RXZ Members Ride Edition 2.0 2024 Melaka Attack! komuniti RXZ Members tidak lupa untuk anjurkan CSR bagi meraikan anak-anak tahfiz,” katanya ketika berucap dalam Majlis CSR RXZ Members bersama MTQQTM, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengetua MTQQTM, Ustaz Abdullah Hashim Al-Hafiz serta penganjur RXZ Members Ride Edition 2.0 2024 Melaka Attack!, Lukhman Hassan.
Menurut Abdul Razak, penganjuran RXZ Members Ride Edition 2.0 2024 Melaka Attack! adalah antara inisiatif untuk membantu meningkatkan ekonomi usahawan tempatan.
“Penganjuran RXZ Members di negeri lain mendapat sambutan menggalakkan, jadi saya juga berhajat untuk anjurkan program sama di Melaka. Penganjuran program ini memberikan pulangan dalam bentuk ekonomi kepada peniaga tempatan, pengusaha inap desa dan hotel,” ujarnya.
Pada program sama komuniti RXZ Members menyumbang RM3,000 kepada MTQQTM dan Abdul Razak turut menyumbang RM1,000 kepada madrasah tahfiz tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.