RV LONJAK EKONOMI PELANCONGAN MELAKA
DUYONG 19 Januari – Kerajaan Negeri giat berusaha melonjakkan ekonomi pelancongan negeri melalui tarikan baharu Recreational Vehicle (RV) yang kini sedang menjadi trend bagi penggemar aktiviti rekreasi dan pengembaraan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan kajian dan penelitian di Australia untuk disesuaikan dan dibawa kaedah RV ini ke Melaka.
Ini kerana, menurutnya, di sana (Australia) telah menjadi kelaziman rakyatnya yang rata-rata mempunyai kenderaan sendiri untuk berkhemah dan berekreasi.
“Melaka bertekad untuk memperluaskan RV ini di setiap daerah. Sebab itu, kita telah membuat penelitian dan perbandingan yang holistik daripada Australia bagi membangunkan tapak-tapak karavan yang bersesuaian dengan suasana di Malaysia.
“Secara peribadi, saya cukup berbangga walaupun baru sahaja tahun kedua berjinak-jinak mengembangkan industri ini, kini Melaka telah memiliki sebanyak empat tapak karavan dan pastinya akan bertambah dari semasa ke semasa untuk memberi lebih banyak pilihan lokasi kepada kaki camper menikmati aura keindahan Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program ‘2025 Camper Rally Melaka’ di Stadium Tun Fatimah, Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia, Farman Othman.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga sedang giat mengatur perancangan untuk menarik perhatian pemilik RV dari negara seberang iaitu Indonesia datang ke Melaka melalui perkhidmatan RoRo di Pelabuhan Tanjung Bruas.
“Saya yakin, usaha ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat sekali gus meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri mesra karavan sehingga berjaya menggamit hati pengembara dari dalam dan luar negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.