Runtuhan kuari, JKKP sedia ambil tindakan
IPOH, 9 Mac – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab berhubung insiden dua pekerja dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, semalam.
Pengarahnya Supian Alias berkata pihak berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 sekiranya didapati berlaku pelanggaran perundangan.
Beliau berkata sepasukan pegawai penyiasat JKKP Perak akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran perundangan dan elemen lain yang menjadi punca kepada kemalangan itu, setelah operasi mencari dan menyelamat selesai dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah menjadi kewajipan setiap majikan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti mereka. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam, sekali gus mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Supian berkata kejadian seumpama itu boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
Dalam kejadian pada 9.15 pagi semalam, dua mangsa dipercayai tertimbus manakala dua lagi iaitu Mohd Razli Suhaimi, 35, cedera patah tulang kaki dan Pan Tam, 38, cedera ringan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.