Runtuhan kuari : Bomba guna anjing pengesan cari dua mangsa tertimbus
IPOH, 11 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengenal pasti kedudukan tepat dua mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Timbalan Komander Operasi JBPM Perak Aidil Adlee Che Mee berkata operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari keempat dimulakan pada 9 pagi tadi dengan kekuatan 63 orang termasuk bomba, polis, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
“Operasi hari ini akan dilakukan secara berterusan berikutan cuaca yang baik dan tiada tanda-tanda gelongsoran batu dari struktur bukit yang telah ditanda oleh pihak JMG sebagai struktur yang lemah.
“Operasi hari ini juga masih tertumpu terhadap usaha mengalihkan bongkah batu besar dengan menitikberatkan faktor keselamatan risiko batu gelongsor dan faktor cuaca. Kali terakhir gelongsoran batu dalam skala kecil direkodkan adalah 4 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian pada 9.15 pagi Selasa lepas itu menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala dua lagi, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, hanya cedera ringan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.