Rungutan isteri reda, Mohd Khairul bawa pulang hadiah RM30,000
LENDU 24 Julai “Saya sering meminta suami supaya tidak kerap keluar memancing, terutama pada hujung minggu tetapi suami tetap dengan hobinya.
“Bagaimanapun, hari ini hobi suami menceriakan kami sekeluarga selepas suami menang hadiah utama dan membawa pulang RM30,000,” kata Nordiana Arshad, 38.
Rungutan Nordiana berikutan Mohd Khairul Ibrahim, 39, kerap keluar memancing, hari ini reda apabila lelaki terbabit memenangi hadiah berkenaan pada Pertandingan Memancing Sempena Hari Belia.
Jika sebelum ini Nordiana sering merungut berikutan suami jarang berada di rumah, termasuk pada hujung minggu, hari ini dia tersenyum riang berkongsi kegembiraan dengan suami dan dua anak, Ishan Rizqi, 8, dan Eshal Raisya, 5.
Ikan keli seberat 5.23 kilogram (kg) yang dinaikkan suami pada jam 9.25 pagi ini membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000 yang dianugerahkan penganjur pertandingan itu.
“Kadang-kadang saya marah juga suami selalu keluar memancing tetapi apakan daya, sudah minat dia begitu dan hari ini minat suami terbayar dengan kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Tasik Taman Rekreasi Durian Daun, di sini.
Pada majlis itu, Mohd Khairul menerima wang berkenaan manakala tempat kedua dimenangi Syamsul Ahmad, 38, dengan membawa pulang RM5,000 dan tempat ketiga dimenangi Md Rafizi Senin, 51, dengan wang tunai RM3,000.
Hadiah disampaikan Pengarah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Melaka, Khairul Adri Rosli.
Pertandingan disertai 800 peserta itu dianjurkan bersama KBS, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan (JAPERUN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan Ajib Fishing sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Alor Gajah.
Mohd Khairul berkata, kemenangan itu adalah yang pertama selepas beberapa kali menyertai pertandingan memancing di negeri ini.
“Saya selalu memancing di kolam pancing dan menyertai banyak pertandingan tetapi setakat menang hamper cabutan bertuah.
“Alhamdulillah, hari ini Allah memurahkan rezeki saya dan ia adalah satu-satunya ikan yang berjaya saya naikkan dalam pertandingan ini,” katanya.
Dengan menggunakan cacing, Mohd Khairul merasakan tarikan pada tali tangsi dan mata kailnya pada jam 9.20 pagi tadi, katanya.
Selepas bermain-main dengan joran bagi melemahkan ikan, dia akhirnya berjaya menaikkan keli lima minit kemudian tetapi tidak menyangka ia adalah ikan paling berat dalam pertandingan itu, katanya.
Bagaimanapun, setakat ini dia belum pasti kaedah untuk membelanjakan wang berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.