Rundingan terus atasi isu banjir

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MERLIMAU 20 Nov. – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan mengadakan rundingan secara terus dengan pihak berwajib yang terlibat bagi menyelesaikan isu banjir di daerah Jasin sekiranya isu terbabit tidak mampu diselesaikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, ia rentetan kelewatan tindakan yang diambil oleh pihak konsultan bertanggungjawab yang dianggap kurang kompeten.

Ujarnya, beliau difahamkan peruntukan bagi melaksanakan projek tebatan banjir telah diumumkan sejak 2017 dan seharusnya disiapkan dalam tempoh 2 tahun, namun kelewatan yang berlaku mengakibatkan isu banjir berlarutan di beberapa lokasi daerah tersebut.

“Saya rasa ia terlalu lama dan dalam fenomena yang tidak menentu ini dan saya bimbang jika berlakunya banjir lagi.

“Jika masih lewat, kerajaan negeri akan berjumpa pihak berwajib untuk mendapatkan satu rundingan bagaimana perkara ini diselesaikan kerana ia menyukarkan kepada penduduk.

“Perkara yang membuatkan ianya lewat adalah permasalahan dari pengurusan konsultan kerana kebiasaanya perkara ini mampu diselesaikan dalam tempoh dua tahun,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, di sini petang tadi.

SULAIMAN mendengar luahan penduduk ketika melawat salah sebuah keluarga pada lawatan terbabit.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan dan Infrastruktur, Datuk Roslan Ahmad: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Wira Latipah Omar serta wakil jabatan.

Jelasnya, projek tebatan banjir yang telah diluluskan sejak 2017 itu menelan belanja sebanyak RM36 juta diperuntukkan bagi membangunkan sistem kolam takungan di kawasan terbabit.

Menurutnya, berdasarkan pertemuan terakhir kerajaan negeri antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan konsultan persekutuan terlibat pada September lalu, memutuskan dua kolam takungan akan dibina di daerah itu.

“Berdasarkan pertemuan memutuskan sekiranya projek ini berjalan lancar dua kolam takungan akan dibina selepas proses reka bentuk terakhir dan pengambilan tanah dilaksanakan.

“Ia akan mengambil tempoh 24 bulan untuk disiapkan dan kita terpaksa menunggu dua tahun lagi.

“Jika sepatutnya ia dilaksanakan sekurang-kurangnya pada 2018 yang lalu, projek ini telah pun disiapkan,” tegasnya.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Terima kasih SMK Munshi Abdullah
Next post Polis Melaka rampas dadah RM3.44 juta
Ubah saiz-+=