Sorting by

×

Rumah transit jangka pendek untuk gelandangan – Adun

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

DUYONG 7 Jun – Sebuah rumah transit bagi menempatkan gelandangan akan dibina bersebelahan Japerun Duyong dalam masa terdekat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Menurutnya, pembinaan rumah transit dicadangkan dilengkapi tiga bilik itu dijangka membabitkan kos RM50,000 menggunakan peruntukan daripada Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

“Kita akan bina tahun ini juga, dalam masa terdekat. Kita panggil rumah transit jangka pendek yang mana gelandangan yang ditempatkan hanya boleh menetap maksimum selama sebulan sahaja.

“Rumah transit yang pertama sudah dibina di Tanjung Bidara, manakala yang kedua adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong jika ikut senarai penggiliran,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI), di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi digital negeri, berkata lokasi rumah berkenaan akan memudahkan kakitangan Japerun memantau keadaan dan keperluan gelandangan yang ditempatkan di situ.

“Tujuan kita untuk membantu gelandangan sebelum dihantar ke rumah kebajikan, mereka yang belum dapat rumah sewa baharu dan untuk mangsa bencana seperti rumah terbakar sebelum dapat penempatan sementara atau baharu.

“Ini salah satu usaha pihak LPM untuk bantu gelandangan di negeri ini, diharap usaha ini dapat mengurangkan masalah gelandangan yang tiada tempat tinggal untuk sementara waktu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1398
Kongsi :
Previous post Keputusan SPM 2022 diumum esok
Next post Tekanan air rendah di Ayer Hitam Darat selesai
Ubah saiz-+=