Sorting by

×

Rumah Transit: Bantu mangsa bina semula kehidupan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

MERLIMAU 16 Julai – Inisiatif Rumah Transit bukan sekadar menyediakan kediaman sementara untuk berteduh buat mangsa yang terjejas akibat bencana, atau mereka berdepan masa yang sukar.

Sebaliknya, kemudahan cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu menjadi tempat bagi mereka berkenaan untuk merancang dan membina semula kehidupan akibat ditimpa musibah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ibu tunggal tiga anak iaitu D Manimalar, 50, menjadi keluarga pertama yang mendapat faedah hasil pelaksanaan inisiatif itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Katanya, empat beranak itu hilang tempat berteduh dan tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Serkam, hangus terbakar dalam kebakaran dilaporkan pada Sabtu lalu.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian, dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, Rumat Transit berhampiran Japerun Merlimau kini menjadi tempat berteduh sementara empat beranak berkenaan sementara urusan berkaitan termasuk tuntutan insurans diselesaikan.

“Kita membantu memberikan keselesaan dan ruang kepada mangsa yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di Merlimau ini bangkit semula bagi membina kehidupan.

“Sepanjang tiga bulan ini Manimalar akan tinggal di Rumah Transit secara percuma sementara menunggu dia mendapat kediaman baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Transit Lipat Kajang DUN Merlimau di Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), TPr. Datuk Murad Husin serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata sepanjang tiga bulan, bil utiliti Rumah Transit yang didiami mangsa akan ditanggung oleh pihak Japerun Merlimau.

“Jika belum dapat mencari kediaman baharu selepas tiga bulan, pihak Japerun akan membuat permohonan baharu bagi membantu mangsa terbabit.

“Kepada mana-mana mangsa bencana seperti kebakaran, ribut dan lain-lain bencana yang kehilangan tempat berlindung kita minta untuk memohon Rumah Transit melalui Japerun yang berhampiran atau memohon terus ke LPM.

“Saya juga mengharapkan pimpinan masyarakat setempat untuk peka dan tampil memberi bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

251
Kongsi :
Previous post Sultan Ibrahim sentiasa dahulukan kepentingan rakyat
Next post Rumah peninggalan mendiang suami musnah dalam sekelip mata
Ubah saiz-+=