Rumah transit bantu bekas banduan wanita berdikari

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 1 Jun – Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan kemudahan rumah transit bagi banduan wanita, sebagai persediaan sebelum mereka kembali ke pangkuan masyarakat selepas selesai menjalani hukuman.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, kemudahan itu dicadangkan diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu atau dalam daerah Jasin.

Kalsom berkata, cadangan mewujudkan kemudahan itu tercetus berikutan jumlah banduan wanita yang menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah agak membimbangkan.

“Saya berjumpa banduan wanita ini ketika melawat penjara yang ada di Negeri Melaka. Jadi, saya tertanya-tanya mana arah tuju mereka apabila dibebaskan nanti, bagaimana wanita ini mahu meneruskan kehidupan.

“Bagi membantu wanita ini kita bercadang untuk wujudkan sebuah rumah transit yang kondusif,” katanya ketika bersiaran pada segmen Podcast Melaka Hari Ini, ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV, baru-baru ini.

Menurut Kalsom, selain menyediakan tempat tinggal penghuni rumah transit akan diberikan kaunseling, dibantu mendapatkan pekerjaan untuk menyara diri sendiri dan keluarga.

Beliau, mengakui perkara itu akan berdepan pelbagai cabaran, namun perlu dilaksanakan bagi membantu bekas banduan wanita berdikari dan berani berdepan semula dengan masyarakat.

“Kita mahu mereka yang ada kisah silam hitam dalam hidup mentransformasikan diri, menjadi wanita yang mempunyai daya tahan dan kerjaya.

“Diharapkan jabatan dan agensi berkenaan dapat bersama-sama untuk merealisasikan cadangan ini. Masyarakat juga perlu buang stigma negatif terhadap bekas banduan, kita tidak mahu mereka terus berasa dipinggirkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post Belajar seni origami di PERZIM
Next post Polis tahan ibu bapa Zayn Rayyan
Ubah saiz-+=