Sorting by

×

RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA MELAKA DI LOKASI BERBEZA SETIAP TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KESIDANG 9 Disember – Penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza pada setiap tahun bagi membolehkan setiap rakyat merasai kemeriahannya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan itu telah diadakan di DUN Machap Jaya pada 2023, diikuti Banda Hilir tahun lalu dan Kesidang pada tahun ini.

Katanya, sambutan yang diterima daripada masyarakat di setiap lokasi dilihat amat menggalakkan, justeru, kemeriahan itu wajar dirasai oleh semua rakyat di seluruh pelusuk negeri.

“Sudah pasti kita akan menjelajah ke lokasi lain selepas melihat sambutan cukup hebat di Malim Food Town di bawah DUN Kesidang ini.

“Namun, lokasi tahun depan belum diputuskan dan akan diumumkan apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, semalam,

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina itu, Ab Rauf menyatakan rasa bangga dan terharu apabila melihat masyarakat berbilang kaum di Melaka bersama-sama meraikan sambutan besar-besaran yang diadakan di DUN Kesidang itu.

“Saya melihat kesepaduan dan kebersamaan antara kaum di Melaka ini boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain di seluruh negara.

“Terima kasih kepada semua yang bersama Kerajaan Negeri dalam meraikan pelbagai sambutan dan perayaan, sekali gus menunjukkan sokongan padu kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM2.5 JUTA UNTUK MASYARAKAT CINA
Next post SEMUA PBT DISARAN PERGIAT AKTIVITI CSR