
RUMAH TERBUKA AIDILFITRI SUNGAI RAMBAI HIDANG MAKANAN LAUT
SUNGAI RAMBAI 15 April – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dijadualkan berlangsung di Homestay Pak Abu, Jalan Salim, 20 April ini, menampilkan kelainan apabila tetamu yang hadir akan dijamu dengan hidangan makanan laut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis berkata, menu akan dihidangkan nanti menggunakan produk hasil laut daripada pengusaha sekitar DUN Sungai Rambai seperti udang dan kupang.
“Selain menampilkan kelainan, kami juga mahu mengangkat dan mempromosikan produk yang diusahakan oleh orang Sungai Rambai, penganjuran kali ini dijangka tidak kurang meriah jika dibandingkan tahun lalu dengan sasaran tetamu antara 7,000 hingga 8,000 orang.
“Selain rumah terbuka kami juga menganjurkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di sembilan lokasi berbeza antara 18 hingga 27 April, semua ini bertujuan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, penganjuran jamuan Aidilfitri itu bertujuan meraikan komuniti setempat dan memupuk semangat bekerjasama.
“Mengikut perancangan komuniti setempat akan bergotong-royong menyediakan makanan untuk dihidangkan kepada tetamu, antara lokasi penganjuran jamuan Aidilfitri adalah Rumah Kak Mariah, Masjid Al-Mukminun, Balai Raya Seri Benteng, Dewan Japerun Sungai Rambai, Balai Raya Jalan Datuk Nawar dan Chima Homestay.
“Lebih menarik turut akan berlangsung jamuan ‘kongsi raya’ bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri secara serentak di tiga lokasi iaitu Kampung Sungai Rambai Timur, Batu Gajah Pasir dan Sungai Rambai Utara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.