Sorting by

×

Rumah terbuka Aidilfitri mungkin tidak dibenarkan tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 29 April – Penganjuran rumah terbuka dan jamuan besar-besaran menjadi antara aktiviti yang mungkin tidak dibenarkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu menjadi antara yang dicadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.

Selain itu, menurut beliau, antara perkara lain yang turut dicadangkan sepanjang Aidilfitri tahun ini ialah pemberian duit raya secara maya bagi menggantikan kaedah pemberian duit raya fizikal seperti kebiasaan.

PRIHATIN… Sulaiman memberi perhatian kepada seorang penerima bantuan yang menyatakan sesuatu kepadanya.

“Bayangkan duit raya pun dicadangkan agar diberi secara dalam talian, selain larangan mengadakan rumah terbuka dan jamuan. Semua itu cadangan yang diberikan MKN di peringkat pusat.

“Saya juga difahamkan rentas negeri untuk sambut raya masih tidak dibenarkan. Apapun, tunggu sahajalah pengumuman rasmi nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis sumbangan Ramadan peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya di Kompleks Japerun Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman, Pengerusi Penyelaras Japerun Bukit Katil Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Penyelaras Japerun Ayer Keroh Mohd Ariff Yusa.

Dalam majlis itu, seramai 90 warga Hang Tuah Jaya yang tidak bernasib baik menerima sumbangan berupa pek makanan dan wang tunai.

Sulaiman berkata, program kebajikan seperti itu akan diteruskan di setiap peringkat kepimpinan masyarakat dalam usaha menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan mulia ini.

“Saya yakin program kebajikan seperti ini sentiasa menjadi santapan harian pemimpin di pelbagai peringkat dalam negeri ini. Jadi saya berharap ia akan diteruskan memandangkan ganjaran pahalanya cukup besar sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

539
Kongsi :
Previous post Isteri Ketua Menteri santuni petugas barisan hadapan sempena Ramadan
Next post Pejabat Speaker DUN Melaka raikan ketua jabatan
Ubah saiz-+=