
RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN AYER MOLEK DIMERIAHKAN DENGAN PERSEMBAHAN QASIDAH
AYER MOLEK 20 April – Persembahan qasidah menyerikan lagi sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang berlangsung hari ini.
Berlangsung di Dewan Japerun Ayer Molek, kira-kira 10,000 tetamu dalam kalangan penduduk setempat dan warga DUN Ayer Molek hadir memeriahkan majlis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, seperti penganjuran tahun sebelum ini majlis rumah terbuka menjadi platform baginya menyantuni dan berjumpa dengan rakyat.
“Setiap tahun DUN Ayer Molek tidak terkecuali meraikan majlis rumah terbuka dan tahun ini sambutan tetap meriah apabila dihadiri antara tujuh hingga 10,000 orang malah pelbagai hidangan menarik termasuk kebab disediakan kepada tetamu.
“Majlis seperti ini diharap memberi kegembiraan dalam kita khususnya umat Islam menyambut Aidilfitri selain ini juga adalah peluang untuk saya menyantuni rakyat kerana tidak dapat untuk berkunjung ke setiap rumah,” katanya.
Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, kelainan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ayer Molek pada tahun ini adalah menampilkan kumpulan qasidah.
“Sepanjang berlangsungnya majlis rumah terbuka ini tetamu yang hadir akan dengan persembahan qasidah malah untuk anak-anak pula turut disediakan pelbagai aneka belon percuma,” katanya.
Terdahulu, kedatangan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman serta Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh badir bagi menyerikan lagi majlis rumah terbuka itu.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Adun Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.
Terdahulu turut berlangsung penyampaian Anugerah Murid Cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025 kepada 103 murid dari DUN Ayer Molek.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.