Rumah terbuka ADUN Ayer Limau terima sambutan luar biasa
MASJID TANAH 6 Mei – Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau disambut meriah dengan kehadiran lebih 1,500 tetamu pelbagai lapisan malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sambutan luar jangkaan itu tidak disangka.
“Alhamdulillah saya begitu terharu dengan sambutan yang cukup diluar jangkaan pada malam ini selepas melihat ramai tetamu, lebih lagi ini adalah kali pertama saya bergelar ADUN mewakili rakyat di Ayer Limau.
“Dikesempatan ini saya juga memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan sepanjang memimpin dan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin,” katanya kepada Melaka Hari ini.
Sambutan diadakan di Kampung Jeram, Masjid Tanah turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman.
Ia turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta barisan EXCO Kerajaan negeri dan kepimpinan akar umbi DUN Ayer Limau.
Acara makan malam yang dihidangkan dengan pelbagai makanan tradisi kali ini meriah sambil dihiburkan dengan dendangan lagi klasik daripada Santai Busker.
Orang ramai yang hadir turut tidak terlepas berpeluang bergambar bersama kenamaan yang menyerikan malam yang dihiasi dengan persembahan bunga api.
Seorang pengunjung, Azrin Amer, 42 berkata, Aidilfitri kali ini amat meriah berikutan kelonggaran diberikan kerajaan selain negara dalam proses beralih ke fasa endemik.
Dia bersyukur dengan sambutan perayaan kali ini setelah hampir dua tahun tidak dianjurkan berikutan kekangan akibat pandemik COVID-19.
“Alhamdulillah, biarpun tahun ini Aidilfitri disambut pada tarikh yang tidak dijangka pada saat akhir namun tetap diraihkan dengan begitu meriah.
“Inilah masa rakyat Malaysia mengambil kesempatan meraikannya untuk menziarahi sanak saudara dan menganjurkan rumah terbuka seperti penganjuran yang diadakan malam ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.