Sorting by

×

Rumah terbakar, tak sempat siapkan hidangan makan tengah hari

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

REMBIA 12 Februari – “Semasa hendak menyediakan hidangan untuk makan tengah hari bersama mak dan ayah, tiba tiba saya terhidu bau asap, namun tidak syak sebarang perkara pelik, ingatkan ia berpunca daripada jiran bakar sampah.

“Kemudian saya dikejutkan jeritan jiran di depan rumah yang mengatakan rumahnya sedang terbakar, ” kata mangsa kebakaran, Asnita Asmadi, 20.

Kejadian di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah jam 10 pagi tadi menyebabkan dua kediaman musnah 90 peratus akibat dijilat api.

Menceritakan saat cemas itu, Asnita berkata dia kemudian terus membantu dengan membawa anak jiran berusia sembilan hingga 17 tahun keluar dari rumah mereka dan dibawa ke tempat selamat sebelum cuba memadamkan kebakaran.

“Saya suruh mereka matikan suis kotak utama elektrik dan mengosongkan rumah. Hanya itu sempat saya fikirkan kerana pada masa yang sama api juga sudah mula marak di rumah saya.

“Alhamdulillah, meskipun kami tinggal sehelai sepinggang tiada nyawa yang terkorban atau cedera. Ibu bapa saya juga sempat keluar dari rumah ketika api mula marak,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Ridzuan Jasmi, 17, berkata, sebelum kejadian dia bersama anak saudaranya sedang tidur.

Katanya, dia yang terjaga secara tiba-tiba melihat dinding bahagian dapur sedang terbakar lalu mengarahkan anak saudaranya mengosongkan rumah.

“Dalam keadaan cemas dan kelam kabut itu mujur jiran datang membantu, kami cuba padam api menggunakan selimut basah, tetapi usaha itu tidak membuahkan hasil.

“Kesemua barang, dokumen diri dan sijil tidak dapat diselamatkan. Saya menyewa di rumah ini hampir lapan tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1342
Kongsi :
Previous post Pelajar OKU maut motosikal ditunggang bertembung kereta
Next post Op Selamat 21: 14 kematian direkodkan setakat semalam
Ubah saiz-+=