Rumah terbakar, mujur semua selamat
KOTA LAKSAMANA 6 November – “Mujurlah bomba pantas mengawal kebakaran kalau tidak sudah pasti rumah kami pun turut terbakar kerana api ketika itu sungguh marak.
“Saya sendiri sementara menunggu bomba tiba cuba memadam api yang terkena pada bahagian dinding rumah kerana bimbang ia akan melarat ke seluruh bahagian yang lain,” itu kata saksi kebakaran di Kampung Pengkalan Rama Pantai, Eric Wong, 27.
Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, memusnahkan dua buah rumah manakala sebuah lagi terjejas kira-kira 10 peratus.
Menurut Eric, kejadian disedari oleh jiran belakang rumah dan neneknya yang berusia 85 tahun sebelum menjerit meminta tolong.
“Keadaan ketika itu agak kelam kabut kerana dinding atas rumah kami seakaan sudah ada api dan nenek mula menangis kerana ketakutan.
“Bimbang api di bahagian dinding terus merebak saya beberapa kali mengambil air dan padam api. Pada waktu itu juga saya turut menghubunginya bomba,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua BBP Melaka Tengah, Yazid Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan Padang Temu ke lokasi kejadian.
“Ketika pasukan bomba tiba kebakaran sudah kira-kira 80 peratus dan kita kemudian cuba mengepung api daripada merebak ke rumah berdekatan.
“Api kemudian dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan pasukan forensik bomba sudah ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran,” katanya.
Kebakaran itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan penghuni rumah terbabit seorang wanita warga Rohingya dan tiga anak berusia tiga hingga empat tahun dapat selamatkan diri .
“Kebakaran itu turut memusnahkan tiga buah motosikal manaka tiga buah kenderaan mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam turut meluangkan masa melawat ke lokasi kejadian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.