Rumah Prihatin sedia jadi PPV golongan remaja

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Rumah Prihatin@Grand Seasons sedia menjadi pusat pemberian vaksinasi (PPV) bagi golongan remaja jika ada keperluan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata ia bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melipatgandakan atau menyegerakan program vaksinasi kepada remaja.

“Di Kuala Lumpur setakat ini sebahagian besar (penduduk) telah terima vaksinasi jadi kapasiti yang ada di PPV kendalian KKM sudah lebih dari memadai.

“Namun sekiranya ada keperluan dari pihak KKM menyegerakan vaksinasi kepada remaja, kita sedia kerana ketika ini aktiviti vaksinasi di sini juga sudah ditamatkan,” katanya kepada pemberita selepas program Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Golongan Memerlukan dan Petugas Barisan Hadapan @ Rumah Prihatin di sini, hari ini.

Rumah Prihatin@Grand Seasons di Jalan Pahang di sini merupakan pusat derma bakti yang berkonsepkan hotel kebajikan pertama di Malaysia, diwujudkan untuk membantu kerajaan mengkoordinasi penyaluran bantuan serta perkhidmatan kebajikan secara lebih berkesan berikutan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Annuar berkata pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan pusat ekonomi digital yang menawarkan khidmat latihan ekonomi digital di Rumah Prihatin ini kepada golongan berpendapatan rendah dan anak-anak miskin di sekitar Rumah Prihatin.

“Kita cadang wujudkan satu pusat ekonomi digital dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk beri latihan kepada anak-anak keluarga miskin belajar dalam bidang e-commerce (e-dagang) untuk sokong inisiatif ekonomi digital,” katanya.

Mengenai bayaran pendahuluan kepada syarikat produksi seni kreatif di bawah kementerian itu, Annuar berkata permohonan untuk tujuan itu sudah mula dibuka.

“Mereka yang terlibat dengan penggambaran dan pengeluaran kandungan untuk kegunaan stesen televisyen dan radio ini lazimnya setiap mereka yang diluluskan projek perlu siapkan projek dan kemudian akan dapat bayaran.

Tetapi mengambil kira kerumitan dari sudut kewangan industri kreatif ini kita sudah putuskan untuk membolehkan mereka mohon pendahuluan hingga maksimum satu perempat daripada harga kontrak, tujuannya supaya dapat ‘jump start’ (memulakan dengan segera) mereka yang terkesan dengan masalah kewangan akibat COVID-19,” katanya.

Mengenai program hari ini, kira-kira 500 petugas barisan hadapan pengurusan jenazah COVID-19 termasuk peniaga kecil dan golongan yang memerlukan di sekitar ibu kota menerima sumbangan bantuan makanan dan kupon makanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post Ibu bapa boleh tidak hantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman COVID-19
Next post COVID-19: 19,198 kes dicatatkan hari ini
Ubah saiz-+=