Rumah peninggalan mendiang suami musnah dalam sekelip mata

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MERLIMAU 16 Julai – Ibu tunggal kepada tiga anak yang hilang tempat berteduh dalam sekelip mata selepas kediamannya musnah dalam kebakaran Sabtu lalu, meluahkan rasa gembira apabila diberi peluang untuk menumpang di Rumah Transit.

D Manimalar, 50, berkata, dua hari lalu wakil Japerun Merlimau menghubunginya bagi memaklumkan mengenai tawaran untuk dia berteduh di Rumah Transit berkenaan bagi tempoh masa tiga bulan.

Wanita ini berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan hanya mengetahui kediamannya terbakar selepas dihubungi oleh jiran.

“Selepas dimaklumkan jiran saya bergegas pulang, namun ketika itu sudah terlambat semuanya hangus terbakar tidak ada barangan yang boleh diselamat termasuk dokumen penting, sudah jadi abu.

“Dugaan ini agak berat, hati saya juga remuk kerana rumah itu adalah peninggalan mendiang suami, banyak kenangan kami sekeluarga sepanjang 21 tahun menetap di situ,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Transit Lipat Kajang Dun Merlimau di Lipat Kajang di sini hari ini yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut, Manimalar berkata, ketika ini dia tinggal seorang diri di rumah berkenaan kerana tiga anaknya bekerja di negeri luar Melaka.

Baginya, keprihatinan pemimpin setempat yang banyak memudahkan urusan dan menghulurkan bantuan amat dihargai, terutama dalam menempuh tempoh sukar ketika ini.

“Saya harap dalam tempoh tiga bulan, urusan berkaitan insurans rumah mendiang suami dapat diselesaikan. Jika lebih daripada tempoh diberikan anak-anak akan berusaha mencari rumah sewa berhampiran tempat kerja saya di Pekan Merlimau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

89
Kongsi :
Previous post Rumah Transit: Bantu mangsa bina semula kehidupan
Next post “Tak perlu bubar, Sungai Udang aja letak jawatan…”
Ubah saiz-+=