Rumah pengantin didatangi ‘tetamu’ tidak diundang
DURIAN TUNGGAL 10 Jun – Kesibukan sebuah keluarga dekat Kampung Belimbing Dalam di sini, membuat persiapan majlis perkahwinan minggu depan, bertukar cemas apabila didatangi tetamu tidak diundang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pemilik rumah, Affandy Bakar, bersama seorang rakannya sedang membersihkan halaman rumah sebelum menghidu sesuatu aneh datang dari tempat longokkan kayu.
Menurutnya, bau hanyir itu datang dari bawah longgokan kayu yang merupakan sisa struktur rumah pusaka milik keluarganya di situ.
“Kami menghampiri longgokan kayu tersebut dan alangkah terkejutnya kami apabila mendapati seekor ular sawa sedang bersembunyi di bawahnya.
“Pada mulanya rakan mahu mengalihkan ular sawa tersebut memandangkan reaksinya yang tidak agresif.
“Namun, dia membatalkan hasrat tersebut kerana bimbang dengan keselamatan diri dan kami akhirnya memanggil bantuan Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Katanya, dia dan rakan beranggapan hanya melihat seekor ular sawa seberat 30 kilogram dan panjang sembilan meter berlingkar bawah longgokan kayu tersebut.
Namun ujar beliau, tekaan mereka meleset kerana terdapat dua ekor ular sawa sedang bersembunyi di situ.
“Kami menyangkakan hanya seekor ular sawa bersembunyi di bawah kayu, rupanya dua ekor, dan seekor lagi ular sawa jantan, agak agresif ketika cuba ditangkap oleh anggota APM.
“Mujur kami tidak bertindak melulu menangkap ular sawa yang mula-mula dan langsung tidak menyangka ada dua ekor ular, kalau tidak kami tidak tahu dengan nasib yang menimpa kami, ” katanya.
Dia mengesyaki ular sawa tersebut datang dari kawasan paya yang terdapat di bahagian belakang rumah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana dirinya, ahli keluarga serta anggota APM terselamat dari sebarang musibah ekoran kejadian itu.
Menurut Affandy, rumah itu tidak dihuni kerana mereka tinggal dekat Durian Tunggal dan hanya sesekali datang ke situ untuk membersihkan persekitarannya dan jika ada majlis tertentu.
“Ini rumah pusaka keluarga dan kami datang untuk membersihkan sekitar rumah memandangkan ada majlis perkahwinan di sini minggu depan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.25 petang.
Katanya, seramai empat anggota dan pegawai dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyalur bantuan.
“Operasi menangkap dua ular sawa itu mengambil masa 30 minit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.