‘Rumah ini hadiah Aidiladha’

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LINGGI 19 Jun – “Ia adalah hadiah yang tidak ternilai menjelang Aidiladha bulan depan,” kata nelayan, Azmi Abdul Majid, 53 selepas menerima Rumah Prihatin daripada kerajaan negeri.

Selepas 17 tahun menjalani kehidupan di rumah sewa, kini Azmi dan isteri serta dua anak berusia 10 dan 16 tahun tersenyum lebar mensyukuri rezeki amat berharga anugerah Allah.

Dia dan keluarga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Melaka yang membantu menyiapkan rumah yang memiliki tiga bilik dan ruang tamu serta dapur yang lebih luas berbanding rumah sewa sebelum ini.

Azmi yang mencari rezeki di laut berkata, dia memohon untuk mendapatkan rumah berkenaan dengan mengemukakan bukti pemilikan tanah di Kampung Sungai Tuang, di sini kerana ia adalah syarat utama untuk melayakkannya menerima sumbangan.

“Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah berpuas hati saya adalah pemilik tanah sebelum kerja pembinaan dimulakan kontraktor tiga bulan lalu dan siap baru-baru ini.

“Alhamdulillah, rumah ini adalah hadiah menjelang Aidiladha tidak lama lagi dan ia amat selesa berbanding rumah sewa yang sempit,” katanya selepas menerima kunci rumah berkenaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Yang turut hadir, Jurutera Daerah Alor Gajah Ir Mohd Haidir Haron dan Penghulu Kuala Linggi, Aszahari Razali.

Rumah Prihatin tiga bilik bernilai RM52,00 sumbangan Kerajaan Melaka diberikan kepada Azmi di Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Azmi berkata, setiap kali selepas menjual hasil tangkapan laut, dia berusaha menabung dengan harapan mampu membina rumah sendiri tetapi impiannya tidak menjadi kenyataan kerana hasil jualan digunakan untuk membiayai kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Sekarang semua barang mahal dan dengan pendapatan tidak menentu, tidak mungkin saya mampu membina rumah impian,” katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, Rosli berkata, Rumah Prihatin itu adalah yang kelima berjaya disiapkan tahun ini selepas empat rumah lagi diserahkan kepada pemilik April lalu.

“Kami di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Kuala Linggi menerima banyak permohonan untuk mendapatkan Rumah Prihatin dua bilik bernilai RM48,000 dan yang tiga bilik berharga RM52,000.

“Setiap permohonan ditapis dengan teliti bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberikan peluang untuk memilikinya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1196
Kongsi :
Previous post Pendaftaran OKU cacat penglihatan secara dalam talian dibuka hari ini
Next post Perkhidmatan Shuttle Tebrau ke Woodlands mula operasi, hampir 70,000 tiket terjual
Ubah saiz-+=