‘Rumah ikan’ bawa sinar baharu buat nelayan Pantai Kundor

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Julai – Sebanyak 20 tukun tiruan yang berfungsi sebagai ‘rumah ikan’ akan dilabuhkan di perairan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, tukun tersebut diusahakannya selaku wakil rakyat dalam membantu nelayan meraih hasil laut lumayan di sebalik kerancakan pembangunan yang berlaku di Melaka.

Katanya, tukun tersebut merupakan rekaan khas untuk perairan Pantai Kundor oleh SIRIM Berhad dengan dianggarkan bersaiz satu meter tinggi dan satu meter lebar dengan berat 700 kilogram setiap satu, dengan peruntukan RM200,000.

Bagaimanapun, katanya, lokasi untuk melabuhkan tukun tersebut sedang dimuktamadkan memandangkan terdapat beberapa zon larangan yang perlu diambil kira.

“Saya amat positif apabila tukun ini dilabuhkan kelak, ia dapat membantu pembiakan ikan di perairan ini, sekali gus membawa sinar baharu untuk nelayan menjana pendapatan dengan hasil laut.

“Semua ini saya usahakan memandangkan radius kawasan untuk nelayan mencari hasil laut semakin mengecil disebabkan pembangunan.

“Disebabkan kawasan yang semakin mengecil, kita perlu mencari kaedah baharu seperti ini supaya dapat menjaga ‘isi perut’ nelayan yang mencari pendapatan dengan hasil laut,” katanya kepada pemberita.

Menurut Tuminah, permohonan mendapatkan tukun itu telah diusahakannya pada tahun lalu, selepas menerima dapatan kajian yang dijalankan sekumpulan profesor dan penuntut Universiti Putra Malaysia berhubung kekurangan ikan di perairan Pantai Kundor.

Jelasnya, kajian itu telah dijalankan di sepanjang kawasan Pantai Puteri hingga ke muara Sungai Lereh dan mendapati, sumber makanan ikan seperti plankton dan sebagainya sudah hampir pupus, sekali gus menyebabkan semakin berkurangnya ikan di perairan berkenaan.

“Oleh sebab itu, saya telah membawakan permasalahan ini di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pertengahan tahun lalu dan alhamdulillah, kita menerima peruntukan untuk tukun-tukun ini dilabuhkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

279
Kongsi :
Previous post ‘Budak STPM pun hebat juga’
Next post Jalan baharu Kampung Jeram-Ayer Limau dibuka Oktober tahun ini
Ubah saiz-+=