Rumah di London: SPRM ambil keterangan bekas eksekutif kanan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PUTRAJAYA, 25 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan bekas eksekutif kanan sebuah syarikat televisyen bersatelit semalam, susulan pendedahan mengenai pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.

Menurut sumber SPRM, proses mengambil keterangan itu dibuat di Ibu Pejabat SPRM di sini dan berlangsung kira-kira sembilan jam bermula 9 pagi.

“Beliau telah memberikan dokumen-dokumen untuk membantu siasatan berkaitan perkara tersebut,” kata sumber itu hari ini.

Sumber SPRM itu berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

“Siasatan perkara ini masih diperingkat awal dan beberapa lagi individu akan dipanggil untuk membantu siasatan,” kata sumber itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan daripada bekas eksekutif kanan itu.

“Akan ada saksi-saksi lain yang akan dipanggil dan kita masih meneliti perkara ini,” kata Azam.

Rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu antara yang disebut dalam perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner, yang menyatakan mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

Leissner telah mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post COVID: Hishamuddin dibenar keluar hospital petang ini
Next post KPKT komited selesaikan projek perumahan ‘sakit’
Ubah saiz-+=