Sorting by

×

‘Rumah Demang Abdul Ghani kekal gah’

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MERLIMAU 13 Ogos – Meskipun sudah berusia 193 tahun, rumah tradisional Demang Abdul Ghani masih tersergam indah dan seni reka bentuknya masih kukuh.

Rumah tradisional itu dibina Demang Abdul Ghani pada tahun 1831 di tanah seluas 0.4 hektar sebelum dilantik menjadi penghulu pada 1834 menggantikan bapanya Abdul Majid seorang golongan berada berketurunan Palembang yang juga tokoh membuka kawasan penempatan di Merlimau.

6168238289291689752

RUANG dalam rumah yang dijaga rapi dan masih kukuh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Kurator Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Nurman Mohd Baroldin, Abdul Ghani Abdul Majid adalah penghulu yang amat dihormati sekitar pekan Merlimau suatu ketika dahulu.

6168238289291689751
RUANG dalam rumah yang dijaga rapi dan masih kukuh. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Pada zaman dahulu, rumah Demang Abdul Ghani sering menjadi tempat perjumpaan atau berkumpul bagi membincangkan hal ehwal masyarakat. Rumah ini sangat istimewa kerana unsur seni binanya yang harmoni, ada pelbagai gaya seni bina seperti seni bina Melayu, China dan Arab.

“Contoh anjung masuk terdapat pagar naga yang mempunyai pengaruh seni bina China yang melambangkan simbol penjagaan dan naga merah sebagai lambang kekayaan.

“Paling menarik adalah tangga utama rumah ini yang sangat ikonik kerana ukiran bunganya yang mempunyai falsafah tersendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di rumah berkenaan di sini, baru-baru ini.

6168238289291689729
KURATOR Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Nurman Mohd Baroldin (depan kiri) bergambar di depan Rumah Demang Abdul Ghani, Kampung Merlimau Tengah, Jasin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, ukiran marmar dan tangga rumah tersebut diimport dari China yang membawa simbolik ‘welcoming’ (mengalu-alukan) kedatangan orang ramai.

“Dari jauh kita akan nampak seperti dibentangkan karpet, tetapi sebenarnya hanya marmar yang menunjukkan bagaimana orang Melayu menghargai tetamu.

“Selain itu seni bina rumah ini terdapat serambi dan anjung. Anjung ini sebelum orang kampung datang berjumpa demang mereka akan duduk duhulu untuk tunggu giliran.

“Rumah ini juga pernah menjadi lokasi penggambaran filem semerah padi dan banyak lagi syarikat perfileman yang membuat penggambaran di sini,” katanya.

6168238289291689755
UKIRAN unik menghiasi Rumah Demang Abdul Ghani. Foto Iqmal Haqim Rosman

Rumah berkenaan mempunyai enam ruang utama itu iaitu balai penghadapan, serambi, rumah ibu, bilik tidur utama, rumah tengah dan dapur.

Untuk rekod pada tahun 2012 rumah itu dijadikan Galeri Demang Abdul Ghani oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di daerah Alor Gajah menurun
Next post Pegawai masjid perlu perkasa ilmu pentadbiran, pengurusan
Ubah saiz-+=