Sorting by

×

Rumah cendawan ‘jana’ duit poket pelajar

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

MERLIMAU 17 Ogos – Menyahut seruan kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menjalankan projek rumah cendawan yang diuruskan oleh pelajarnya.

Pengurus Projek PolyAgro MyCendawan, Ahmad Syukri Mohamed Yunus berkata, inisiatif Poly Agro MyCendawan itu merupakan inkubator keusahawanan yang diuruskan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar PMM.

Secara tidak langsung, aktiviti mengusahakan cendawan tiram itu membantu menjana pendapatan sampingan peserta termasuk mereka berasal dari keluarga kurang berkemampuan.

photo1692174043
HASIL tanaman cendawan tiram pada Program Inkubator Keusahawan PolyAgro MyCendawan di Politeknik Merlimau, Jasin. Foto: MR. AZLI

INOVASI RUMAH CENDAWAN

Beliau yang juga Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar PMM berkata, sejak dimulakan Mac lalu, projek itu sudah memasuki musim tuaian ketujuh bulan ini.

“Projek rumah cendawan hasil kerjasama pelajar dan pensyarah PMM ini mengaplikasikan teknologi serta inovasi hasil idea kami.

“Antara yang diamalkan adalah teknologi pusaran air dipasang pada bumbung rumah rumah cendawan ini bertujuan mengawal suhu agar berada pada bacaan 30 hingga 33 darjah celsius,” katanya.

photo1692175633
PROSES pembungkusan hasil tanaman cendawan tiram untuk dijual pada Program Inkubator Keusahawan PolyAgro MyCendawan di Politeknik Merlimau, Jasin. Foto: MR. AZLI

PENJAGAAN BONGKAH CENDAWAN

Jelasnya, cendawan memerlukan persekitaran yang gelap dan lembab untuk tumbuh serta membesar dengan subur.

Berikutan itu rumah cendawan berkenaan dipantau agar sentiasa lembab selain melatakkan air pada bahagian bawah bongkah.

HASIL TUAIAN

Menurut Ahmad Syukri, selain dijual kepada pelanggan sekitar institusi itu, pihak turut menyumbangkan 100 kilogram (kg) cendawan kepada 40 pusat tahfiz sekitar Negeri Melaka.

“Sebenarnya kami membuka tawaran kepada warga PMM yang berminat untuk menderma. Setiap bongkah dijual pada harga RM15, apabila cendawan dituai ia akan diserahkan kepada pusat tahfiz yang berkenaan,” katanya.

photo1692173941
HASIL tanaman cendawan tiram pada Program Inkubator Keusahawan PolyAgro MyCendawan di Politeknik Merlimau, Jasin. Foto: MR. AZLI

TAPAK PENYELIDIKAN

Tambah Ahmad Syukri, pihak PMM turut bercadang untuk menambah rumah cendawan tersebut pada masa akan datang.

“Pada awal pembukaan, kami memperuntukkan RM15,000 untuk 3,000 bongkah cendawan termasuk pembinaan rumah dan hasilnya agak memberangsangkan.

“Jadi menjelang hujung tahun ini, kita bercadang untuk tambah lagi rumah cendawan. Ada juga perancangan untuk cuba usahakan tanaman organik lain di tapak penyelidikan ini.

“Projek rumah cendawan ini adalah pemula, ia juga dijadikan tapak penyelidikan untuk pelajar PMM melaksanakan teknologi dan inovasi,” katanya.

‘DUIT POKET’ PELAJAR

photo1692173806
SAFWAN melihat tanaman cendawan tiram pada Program Inkubator Keusahawan PolyAgro MyCendawan di Politeknik Merlimau, Jasin. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, pelajar Semester tiga, Jurusan Pelancongan dan Hospitaliti PMM, Safwan Ahmad berkata, dia mengambil peluang untuk mencari duit ‘belanja’ menerusi projek tanaman cendawan terbabit.

“Saya dan rakan-rakan dapat menjana sehingga RM400 sebulan hasil jualan cendawan. Keuntungan itu kami jadikan wang belanja, sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga.

“Kami bukan setakat menjual, tetapi dilatih untuk menguruskan projek ini bermula dengan penjagaan hingga dijual kepada pengguna.

“Cendawan yang kami jual juga lebih murah berbanding pasaran. Bagi 250 gram cendawan dijual RM4.50 sahaja, kalau pasaran luar dijual RM5.50,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2532
Kongsi :
Previous post Peminat setia 40 tahun, kumpul 40 karya
Next post Pembinaan Taman Tema Upin Ipin di Melaka sedang diteliti
Ubah saiz-+=