Sorting by

×

Ruang legar kedai, pejabat jadi tempat longgokan sampah

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

KLEBANG 29 April – “Kadangkala pintu masuk pejabat dan kedai dipenuhi sampah berlonggok sehinggakan kami sendiri terpaksa bersihkan sendiri demi menjaga nama premis dan kawasan persekitaran kami.”

Itu luahan seorang pekerja swasta, Nadia Baharuddin, 28 yang kecewa dengan sikap segelintir peniaga dan pengunjung Bazar Aidilfitri Klebang yang sewenang-wenangnya menjadikan blok bangunan di kawasan itu itu sebagai tempat longgokan sampah.

Dia yang bekerja di sebuah pejabat di situ mendakwa, isu sampah diibaratkan menjadi isu tahunan kepada peniaga dan pemilik premis setiap kali bazar dianjurkan di kawasan itu yang mana ia seolah-olah tidak menemui penyelesaian.

“Sudah berkali-kali membuat aduan, bila dah buat hanya beberapa ketika saja dan selepas itu isu sampah ini berlarutan semula.

“Kebanyakkan sampah yang dilonggok adalah sisa makanan dan kotak-kotak hasil dari perniagaan bazar yang beroperasi di kawasan ini.

“Tiada tong sampah besar disediakan membuatkan sampah itu dilonggok di setiap lorong kecil antara bangunan-bangunan blok kedai membuatkan isu bau berlaku di kawasan ini.

“Apabila menjelang tengah hari bau busuk akan naik sebab ada antara peniaga yang menjual air hanya membuang terus sisa jualan ke dalam longkang, bila kering bau memang naik,” dakwanya.

SISA sampah yang bukan sahaja mencacatkan pemandangan, bahkan turut membawa kepada pencemaran bau di Klebang.

Nadia mendakwa, penganjur bazar berkenaan juga tidak mengadakan perbincangan secara menyeluruh dengan setiap pemilik premis di kawasan berkenaan sebelum memulakan operasi di kawasan itu.

“Mereka hanya bincang bersama peniaga di tingkat bawah sedangkan banyak pejabat yang beroperasi di tingkat atas yang juga mempunyai petak parkir tapi tidak nampak kelibat mereka dan kami juga tidak tahu dengan siapa untuk berhubung.

“Cuma ada dengar-dengar pemilik premis perlu parkir kenderaan di lorong belakang kedai dan apabila ia dijadikan kawasan parkir bagaimana pula lori mengangkut sampah hendak lalu di kawasan berkenaan?

“Ini juga menjadi punca sampah terus dilonggok dan dibiarkan begitu saja, kalau nak kata mereka menggaji kontraktor mengutip sampah tapi kelibat pun tak pernah nampak,” dakwanya lagi.

Dia berharap tindakan segera perlu diambil pihak bertanggungjawab dan pada masa sama mencadangkan bazar berkenaan dipindahkan ke lokasi berdekatan pantai bagi memberi peluang peniaga di premis menjalankan perniagaan mereka.

“Dahulu kalau nak operasi di kawasan ini masih boleh diterima lagi berbanding sekarang rata-rata premis sudah dipenuhi pelbagai kedai dan jika bazar ini beroperasi lagi di kawasan ini ia akan menutup rezeki peniaga di sini.

“Malah jika dikatikan dengan isu sampah ini akhirnya peniaga premis juga menjadi mangsa akibat peniaga dan pengunjung bazar yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3118
Kongsi :
Previous post Persekutuan majikan rayu kebenaran khas guna khidmat pelarian, pekerja tanpa dokumen
Next post ‘Hero’ UTeM bantu pasang capaian internet di sekolah luar bandar
Ubah saiz-+=