Sorting by

×

RTB Alor Gajah atasi banjir masa akan datang

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

REMBIA 12 Ogos – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sedang dilaksanakan di Alor Gajah diyakini mampu mengatasi banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa kawasan di daerah ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, banjir yang berlaku di beberapa kawasan terutama di Taman Seri Bayu adalah perkara yang tidak dapat dielakkan berikutan RTB di Alor Gajah masih dalam tempoh pembinaan.

Katanya, hujan berterusan dengan taburan yang padat menjadi antara punca banjir berlaku di beberapa kawasan termasuk sekitar pekan Rembia dan Kelemak.

“Keadaan semalam disebabkan air telah memenuhi RTB yang sedang dibina ditambah dengan faktor taburan hujan membuatkan air yang naik mula memasuki kawasan kediaman penduduk.

“Jadi kita akan pastikan RTB ini dilaksanakan mengikut rancangan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Ar-Rasyidin di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Kanan kepadaPerdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 59 buah keluarga telah dipindahkan ke PPS itu setakat jam 2 pagi tadi dan berkurang kepada 55 keluarga setakat tengah.

“Kita menjangkakan rekod kemasukan keluarga ini akan berkurang kerana ada yang telah pulang ke kediaman masing masing bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumah mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post Prihatin nasib mangsa banjir, Ketua Menteri hantar kit makanan
Next post Mangsa banjir di daerah Alor Gajah menurun
Ubah saiz-+=