R&R dicadang sedia Menu Rahmah – Menteri
AYER KEROH 16 Februari – Kementerian Kerja Raya (KKR) mencadangkan semua Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di negara ini menyediakan pakej makanan Menu Rahmah pada harga RM5.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah menyuarakan hasrat tersebut dalam pertemuan bersama pengusaha dan syarikat konsesi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan, perkara itu hanyalah saranan dan bukanlah paksaan kepada setiap pengusaha makanan untuk menyediakan menu tersebut seperti yang sedang dilaksanakan di pelbagai premis seluruh negara.
“Ini hanyalah saranan atau cadangan saya agar dapat disediakan Menu Rahmah ini kepada pengguna lebuh raya. Ia bukan memaksa tapi kita berharap ramai dapat menyertainya.
“Saya memaklumkan cadangan ini semalam dan saya dimaklumkan reaksi yang diterima cukup positif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron di Hentian R&R Ayer Keroh Arah Utara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha, KKR Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR Datuk Zahrul Hakim Abdullah; Ketua Pengarah LLM Datuk Ir. Mohd Shuhaimi Hassan; Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad Datuk Mohd Izani Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir. Baharin Din; dan lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.