Sorting by

×

ROZIAH TIDAK JEMU BACA AYAT SUCI AL-QURAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 Januari -Minat mendalam terhadap al-Quran antara yang mendorong Roziah Latif, 55, mengambil bahagian dalam pertandingan hafazan bagi tahun keempat berturut-turut.

Malah Roziah akan memastikan ahli keluarganya meluangkan masa untuk membaca al-Quran selepas selesai menunaikan solat Subuh pada setiap hari.

“Saya mula menghafal al-Quran sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan iaitu pada tahun 2018.

“Ini adalah tahun keempat saya mengikuti program hafazan dewasa, pada tahun lalu (2024) saya menjadi johan bagi pertandingan ini.

“Justeru, pendapat saya program begini sangat bagus, sebagai ibu juga saya sentiasa menerapkan amalan membaca al-Quran bersama keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Roziah menerima anugerah khatam al-Quran bagi surah Al-Baqarah pada Majlis Haflah Qurra’ Kali Ke-9 Program Hafazan Dewasa Masjid-Masjid Negeri Melaka (PHDMMNM) di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Ibu kepada tiga anak ini berkata dia turut mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran dengan mengajar anak-anak muda mengaji di rumahnya.

“Sebenarnya untuk menghafal al-Quran kita perlu ada minat, sebab itu saya amalkan dengan mengajar anak-anak muda mengaji di rumah.

“Minat saya terhadap ayat suci al-Quran ini tidak akan pernah habis, jika tidak banyak, baca sedikit pun sudah memadai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

90
Kongsi :
Previous post NELAYAN HANYUT: SEORANG SELAMAT TIBA DI MALAYSIA, RAKAN MASIH TUNGGU DOKUMEN LENGKAP
Next post HAMPIR 100 PROGRAM DIRANGKA BAGI MERIAHKAN W.R.U.R DUN PENGKALAN BATU
Ubah saiz-+=