Sorting by

×

‘Roti canai terbang’ sajian mata dan selera pelanggan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER MOLEK 16 Disember – Seakan babak filem Lagi-Lagi Senario, itu suasana di kedai makan Roti Terbang Pojie apabila pengunjung ‘disajikan’ dengan aksi dua beradik yang ‘menerbangkan’ roti canai.

Dengan gaya bersahaja, aksi roti canai terbang dipersembahkan Muhamad Fauzi Mohd Nor, 40, dan adiknya Muhamad Fadhilah Mohd Nor,27, nyata mencuri tumpuan pengunjung yang singgah menjamu selera.

Muhamad Fauzi berkata sejak 10 tahun lalu dia sentiasa berlatih untuk memantapkan lagi kemahirannya itu, sekali gus menjadi penarik tambahan pelanggan singgah ke gerai diusahakan selain menjaga kualiti dan keenakkan hidangan disediakan.

“Semuanya bermula apabila saya melihat cara piza disediakan, jadi untuk memahirkan diri saya berlatih. Selain itu saya cabar diri untuk masuk pertandingan hingga ke peringkat kebangsaan.

“Hasil kesungguhan saya dilamar untuk bekerja di Melbourne, Australia. Selepas tujuh tahun bekerja di sana sebagai penebar roti canai, akhirnya pada 2018 saya pulang ke Malaysia dan daripada situ terfikir untuk membuka perniagaan sendiri serta mengetengahkan kemahiran yang ada.

“Semasa di Melbourne, aksi roti canai terbang ini mendapat sambutan jadi saya fikir kenapa tidak dilakukan di sini. Alhamdulillah, selepas tiga tahun beroperasi masih ramai yang singgah masih mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Bukit Lintang, di sini, baru-baru ini.

WhatsApp Image 2022-12-15 at 1.59.35 PM (1)
PELANGGAN menunjukkan roti disediakan Muhamad Fauzi 

Menurutnya dia bersama Muhamad Fadhilah juga melayan permintaan daripada pelanggan yang mahukan persembahan ‘extra’ daripada mereka.

Selain roti canai terbang, dia turut menampilkan kelainan dengan memperkenalkan hidangan roti Hawai atau roti piza yang menggabungkan citarasa barat dan Melayu .

“Sudah banyak kedai yang tawarkan roti sarang burung atau burito, jadi saya tawarkan roti canai menggunakan inti ayam berempah seperti piza.

“Saya tidak sangka, ramai yang minat dan mendapat sambutan. Berdasarkan pengalaman sepanjang bekerja negara orang saya dapati makanan Melayu memang diminati dan digemari,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3504
Kongsi :
Previous post MPHTJ anjur empat program sempena ulang tahun ke-13
Next post Melaka FC bawa imej baharu, belanja RM2 juta hadapi Liga M3
Ubah saiz-+=