ROS salur geran RM6.674 juta sejak 2013

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 31 Oktober – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah menyalurkan peruntukan dalam bentuk geran berjumlah RM6.674 juta kepada persatuan penduduk di negeri ini sejak 2013.

Pengarah ROS Negeri Melaka, Nurhafidah Ali berkata, setakat ini 708 persatuan memperoleh manfaat daripada geran yang sudah disalurkan pihaknya.

Jelas Nurhafidah, pemberian geran berkenaan bagaimanapun bergantung kepada peruntukan daripada pembentangan belanjawan tahunan negara.

“Dana kepada persatuan penduduk disalurkan pada 2013, seterusnya 2014, 2017, 2018, 2019 dan 2022. Bagi enam tahun berkenaan sebanyak 601 persatuan menerima geran keseluruhan berjumlah RM5.604 juta.

“Sementara itu tahun ini pula Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) diperkenalkan. Menerusi GPPK, permohonan 107 persatuan penduduk yang lengkap diluluskan.

“Setiap persatuan penduduk menerima RM10,000 yang keseluruhan berjumlah RM1.07 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup RoS_Care Bil.17/2023 Kursus Asas Pengurusan Pertubuhan, Perkongsian Pintar dan Penyampaian Mock Cheque Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) di Pejabat ROS Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, semalam.

Program dirasmikan Exco Belia, Sukan dan (NGO) negeri, VP Shanmugam itu turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.

Beliau berkata, bagi memperkasakan lagi persatuan berdaftar di negeri ini pihaknya melancarkan program ‘#ros_care’ yang turut bertujuan memupuk nilai kesukarelawan.

“Selain, Kursus Asas Pengurusan Pertubuhan pelbagai program sudah kami anjurkan seperti Bengkel Pindaan Perlembagaan, Bengkel Penghantaran Penyata Tahunan, Program Pencegahan Jenayah Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertubuhan, Program Perkongsian Pintar serta Bengkel Pengisian Maklumat Aktiviti Pertubuhan di Portal MySociety,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1168
Kongsi :
Previous post 10,000 dijangka meriahkan Pesta Konvo TUAH UTeM
Next post MPJ pantau binaan struktur tanpa kebenaran
Ubah saiz-+=