RoS buru persatuan terlibat jenayah, ganggu ketenteraman awam

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 26 September – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) giat menjejaki mana-mana pertubuhan atau persatuan di negara ini terlibat dalam kegiatan jenayah mahupun mengancam ketenteraman awam.

Ketua Pengarahnya, Nawardi Saad berkata, RoS akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memantau perkara tersebut jika terdapat persatuan menjalankan aktitivi yang bercanggah dengan perlembagaan penubuhannya.

“Kita memantau pertubuhan berdaftar dan tidak berdaftar RoS dan mana mana yang terlibat dengan jenayah, gangsterisme akan diambil tindakan.

“Tindakan menyenarai hitam persatuan mereka akan dilaksanakan sekiranya persatuan ini bergerak ataupun telah dibuktikan mendatangkan ancaman kepada keselamatan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program RoS_Care Bil.16/2023 Kursus Asas Pengurusan Pertubuhan, Perkongsian Pintar dan Penyampaian Mock Cheque Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) diadakan di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah RoS Melaka, Nurhafidah Ali.

Pada majlis itu, Nawardi telah menyampaikan GPKK berjumlah RM10,000 setiap satu kepada 52 persatuan berdaftar di Negeri Melaka.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih 3,000 persatuan yang ditubuhkan di seluruh negara telah dibatalkan RoS ekoran berlakunya pertikaian dan masalah dalaman dalam kalangan ahli.

Malah katanya, pembatalan itu turut membabitkan persatuan yang tidak aktif dan melanggar undang-undang ditetapkan RoS.

“Setakat ini lebih 180,000 persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik dan cawangannya didaftarkan di seluruh negara.

“Dalam tempoh dua tahun ini lebih 3,000 telah dibatalkan menerusi pemutihan dilaksanakan RoS,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post 1,843 anggota, pesara polis terima Pingat Jasa Pahlawan Negara
Next post Mohon segerakan jambatan sementara di Pulau Gadong
Ubah saiz-+=