Sorting by

×

RONDAAN POLIS SECARA BERKALA DI HOSPITAL JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem mencadangkan agar rondaan polis secara berkala dilakukan di Hospital Jasin.

Ia susulan berlaku insiden pergaduhan dan serangan baru-baru ini, hingga menyebabkan kerosakan harta benda di hospital berkenaan.

Menurut beliau, insiden pergaduhan seperti itu tidak seharusnya berlaku, terutamanya di kawasan hospital yang menjadi tempat untuk orang awam mendapatkan rawatan.

“Insiden yang berlaku itu tiada kaitan dengan situasi atau keadaan dalaman hospital sebaliknya ia adalah isu luaran yang dibawa dan berlanjutan hingga ke hospital.

“Oleh itu, saya nasihatkan agar pihak hospital untuk membuat permohonan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin supaya dapat membuat rondaan secara berkala di dalam kawasan hospital terutamanya pada waktu malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Hee Sem, pihak Hospital Jasin juga turut membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan sebuah ambulans mengalami kerosakan.

“Saya dimaklumkan wakil Hospital Jasin turut membuat laporan polis berhubung insiden itu pada malam kejadian yang membabitkan kerosakan ambulans,” katanya.

Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan ke Hospital Jasin bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden yang berlaku itu.

Pada Ahad lalu, seorang lelaki maut selepas dipercayai diserang dan ditetak oleh sekumpulan lelaki bertopeng di hadapan sebuah kedai gunting rambut, di Rim, Jasin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, kumpulan lelaki berkenaan turut mengejar mangsa yang dibawa ke Hospital Jasin sehingga kekecohan itu menjadi tular di laman sosial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post IFUTURE: LAHIR PEMIMPIN MASA HADAPAN
Next post JOM SERTAI PERARAKAN BOT SUNGAI MELAKA 31 OGOS INI
Ubah saiz-+=