Sorting by

×

Rombakan besar-besaran jabatan dan agensi Kerajaan Negeri

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 12 Januari – Rombakan besar-besaran membabitkan jabatan dan agensi akan dilaksanakan tahun ini bagi menambah baik mutu perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Tegas Ketua Menteri, budaya lama seperti menangguhkan kerja, tidak teliti dan tiada ‘sense of belonging’ kepada Kerajaan Negeri sepatutnya tidak lagi menjadi amalan penjawat awam.

Mengulas lanjut Ketua Menteri memberitahu, rombakan besar-besaran itu adalah berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan amat perlu untuk memajukan lagi Negeri Melaka.

“Sepanjang kira-kira selama sembilan bulan saya menerajui Kerajaan Negeri sejak 31 Mac 2023 saya belum lagi melakukan sebarang rombakan atau perubahan yang melibatkan mana-mana ketua jabatan atau agensi kerajaan negeri.

“Saya hanya memerhati, menilai dan meneliti prestasi tuan-tuan berkarya mengikut cara masing-masing. Tahun ini saya menegaskan bahawa rombakan besar-besaran kepada semua agensi kerajaan negeri akan saya lakukan dalam tempoh terdekat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta persekutuan.

Menurut beliau, semua penjawat awam perlu segera melakukan anjakan paradigma dengan mengubah cara berfikir, bertindak dan bekerja.

“Kita mendapati banyak perjanjian berat sebelah tidak melindungi kepentingan kerajaan negeri yang dimeterai sebelum ini akhirnya jadi liabiliti dan tanggungan kepada kerajaan yang tidak munasabah.

“Jadi sebagai menuju langkah ke hadapan mencapai lapan fokus utama Kerajaan Negeri pada 2024, saya menegaskan supaya perkara-perkara ini perlu diberi penekanan kepada semua ketua jabatan dan penjawat awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1220
Kongsi :
Previous post TMM2024: Utamakan kebersihan, keceriaan Melaka
Next post Usaha tanah terbiar di Asahan
Ubah saiz-+=