Rohana tekad ubah hidup bersama ‘laoshi’

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 Ogos- “Insya-Allah peluang ini tidak akan sia-siakan dan saya akan lakukan sehabis baik kerana sudah lama menantikan saat ini, itu luah Rohana Abdullah, selepas mendaftar sebagai pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Rohana, 22, sebelum ini terpaksa memendam hasrat untuk menyambung pelajaran kerana tiada taraf warganegara termasuk dokumen pengenalan diri dan sebelum ini gadis itu dibesarkan seorang wanita Cina, Chee Hoi Lan, 83, yang dipanggil ‘laoshi’ selepas ditinggalkan orang tuanya ketika masih bayi.

Menurutnya, walaupun berat mahu berpisah dengan laoshi namun dia terpaksa demi menuntut ilmu selain berharap peluang menyambung pelajaran ini mampu mengubah hidupnya sekaligus dapat membalas segala jasa warga emas itu.

Katanya, sepanjang dibesarkan Hoi Lan ini kali pertama mereka berdua akan berpisah untuk tempoh waktu yang panjang dan sudah pasti rasa bimbang dan risau menghantui dirinya untuk meninggalkan warga emas itu seorang diri.

“Kalau ikutkan berat untuk tinggalkan laoshi kerana keadaanya yang sudah tua tetapi apabila memikirkan masa depan nak atau tidak kita kena juga korbankan satu, untuk benda yang kita hendak capai. Mana tahu ada rezeki, Insyallah kalau ada rezeki satu hari nanti saya akan balas balik segala kebaikan laoshi kepada saaya.

“Untuk esok memang tidak sabar mulakan kelas pertama. Walaupun umur agak tua tetapi untuk pembelajaran ia tidak mengira usia dan sepenuhnya saya sudah bersedia untuk menjadi pelajar serta berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.

Rohana ditemui selepas selesai mendaftar sebagai pelajar Diploma Sains Komputer, di UTeM yang turut dihadiri Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.

Menurut Rohana, sebelum bergerak ke Melaka dan sehinggalah semalam, Hoi Lan terus menerus berpesan dan mengingatkan kepada agar sentiasa menjaga diri, beri perhatian sepenuhnya kepada pelajaran serta menjaga solat lima waktu.

“Banyak laoshi pesan, seperti emak-emak yang lain. Dia pesan supaya tidak lupakannya, angkat telefon sekiranya dia menelefon, jangan lupa dirinya apabila sudah berjumpa dengan rakan-rakan di Melaka dan jangan sesekali tinggalkan solat.

“Malah dia turut ingatkan saya supaya belajar rajin-rajin serta tidak mensia-siakan peluang diberikan ini kerana saya sudah tunggu sudah lama dan jangan rosakkanya,” katanya.

Sementara itu, Hoi Lan berkata, selepas sekian lama akhirnya dia mampu nafas lega kerana Rohana bukan hanya sudah memiliki dokumen pengenalan malah hasratnya untuk menyampung pelajaran juga sudah tercapai.

“Bila dia dapat di sini saya sungguh gembira, walaupun sedih untuk melepaskannya tetapi harapan saya dia akan berjaya. Saya harap dia dapat habiskan belajar capai cita-cita.

“Saya pun tidak pasti sama ada dapat lihat atau tidak dia habiskan belajar kerana umur yang sudah tua namun begitu saya gembira kerana dapat membuat yang terbaik untuk Rohana,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1928
Kongsi :
Previous post Adik Ainul Mardhiah dilaporkan tenat
Next post Polis sahkan penemuan objek dipercayai bahagian roket
Ubah saiz-+=