‘Roh’ Rukun Negara wajar jadi pegangan setiap rakyat
KUALA LUMPUR 14 Julai – ‘Roh’ Rukun Negara yang menjadi pegangan setiap rakyat terutama di awal falsafah itu dibentuk sekitar 70-an dan awal 80-an antara resepi bagaimana keharmonian dan perpaduan negara dapat dikekalkan sehingga hari ini.
Inilah semangat dan penjiwaan yang perlu dikembalikan untuk memastikan roh Rukun Negara tidak hilang dan terkubur dalam jiwa rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan generasi muda, menurut aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.
Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia itu berkata beliau masih baru dalam dunia politik ketika Rukun Negara dilancarkan pada 31 Ogos 1970 yang memberi peluang kepada beliau melihat sendiri bagaimana perjalanan penyatuan kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Usaha serius dilakukan kerajaan dalam mengembalikan perpaduan kaum telah membawa kepada penggubalan Rukun Negara yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum daripada perpecahan dan persengketaan.
Sehingga kini, apabila membicarakan tentang Rukun Negara, beliau masih terbawa-bawa semangat muhibbah dan keharmonian yang wujud sekitar tahun 70-an dan 80-an yang dilihat semakin hilang dalam kalangan masyarakat hari ini.
“Saya rasa sedikit kesal, selepas tahun 80-an, Rukun Negara tidak diberikan tumpuan dan perhatian serius hingga menghilangkan erti dan semangat yang terkandung di dalamnya,” katanya kepada Bernama bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, 9 Julai lepas.
Sambutan itu juga bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, yang menjadi acara tahunan bagi memperingati tarikh kemerdekaan negara dan penubuhan Malaysia.
Berkongsi pengalaman ketika peristiwa 13 Mei 1969, Lam Thye yang ketika itu berusia 24 tahun, baru dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Nenas yang pada waktu itu masih di bawah pentadbiran Negeri Selangor.
Beliau mewakili parti pembangkang, DAP ketika itu sehingga mengakhiri karier politiknya pada tahun 1990-an.
Selepas pilihan raya tahun 1969 itulah menurut beliau, negara menghadapi satu krisis yang menyebabkan berlaku persengketaan kaum pada 13 Mei dan hasil analisis mendedahkan antara punca peristiwa tersebut disebabkan ketidakseimbangan yang wujud dalam sistem ekonomi dan sosial.
“Rukun Negara adalah satu panduan atau kompas rakyat Malaysia tidak kira kaum ataupun agama. Apabila Rukun Negara diwujudkan saya mengambil kesempatan membuat rujukan daripada laporan media, surat khabar kerana sangat tertarik dengan falsafah kebangsaan itu.
“Yang paling dekat di hati saya bagaimana Rukun Negara menjadi panduan yang mudah dapat difahami, dihayati dan dihargai rakyat ketika itu,” katanya.
Lima prinsip terkandung dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan menonjolkan kesederhanaan untuk menjadi satu falsafah yang berkesan kepada negara.
Lam Thye, 74, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang selama empat penggal, berkata keseriusan pemerintah ketika itu menguar-uarkan tentang Rukun Negara menyebabkan semua warga tidak kira kaum, agama dan budaya memberi sokongan kepada prinsip-prinsip yang disebutkan dalam Rukun Negara.
Rukun Negara dijadikan satu jentera atau alat menyatupadukan rakyat melalui publisiti yang meluas di media cetak dan elektronik kerana menganggap ia menjadi idea baharu dengan falsafah yang menarik, katanya.
“Rukun Negara ketika awal diwujudkan mendapat maklum balas sangat positif dan menarik minat masyarakat berbilang kaum kerana mereka rasa sekiranya falsafah Rukun Negara ini dapat diaplikasikan, ia dapat menyelesaikan masalah yang timbul terutama berkaitan perpaduan serta aspek ekonomi dan sosial,” katanya.
Menurut Lam Thye pada tahun 1990-an hingga sekarang, isu perkauman sering dipolitikkan hingga menyebabkan hubungan kaum di negara ini dilihat semakin kritikal terutama pihak yang mengapi-apikan isu berbangkit, membuat kontroversi dan provokasi serta tidak memberi tumpuan kepada perpaduan dan penyatuan.
Kenyataan yang dikeluarkan, memperlihatkan unsur perpecahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat dan jika tidak dibendung dibimbangi akan mengundang masalah yang lebih serius, katanya.
Anak jati kelahiran Ipoh, Perak itu menegaskan survival Malaysia adalah bergantung kepada sejauh mana rakyat menjadikan Rukun Negara sebagai panduan dan prinsip yang membawa kekuatan Malaysia dalam semua aspek.
Tegasnya, Rukun Negara perlu diberikan nafas baharu dan perlu menjadi asas dalam menentukan dasar-dasar dan tindakan yang diambil kerajaan.
“Malaysia boleh terus aman damai dengan kepelbagaian sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan kebudayaan yang menjadi kekuatan untuk terus maju berasaskan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.
“Kita tidak ada pilihan lain…kena rujuk kembali kepada Rukun Negara kerana inilah asas penting untuk membina negara yang akan kekal relevan sampai bila-bila,” katanya yang berharap falsafah negara ini menjadi pegangan kuat terutama bagi generasi akan datang dalam menentukan hala tuju negara.
— BERNAMA