Robinsons tutup operasi di Malaysia kerana tekanan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Robinson Co. (Malaya) Sdn Bhd akan menutup dua gedung beli-belah di Malaysia dan memulakan proses pembubaran berikutan ketidakmampuannya untuk meneruskan operasi kerana permintaan yang lemah.

Robinsons, antara pengusaha gedung serbaneka di seluruh dunia, terus mengalami kesan pandemik COVID-19, terutamanya dari segi jualan gedung berbanding jualan dalam talian.

Di peringkat global, corak belian runcit menyaksikan peralihan signifikan daripada perbelanjaan di luar talian ke perbelanjaan dalam talian dengan laporan Edagang Global 2020 menunjukkan Asia Pasifik akan menghasilkan hampir 63 peratus daripada semua jualan digital tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Robinsons Danny Lim berkata perubahan landskap pengguna menyukarkan syarikat untuk berjaya dalam tempoh jangka panjang dan ditambah pula dengan pandemik yang memburukkan lagi keadaan.

Pengusaha gedung beli-belah itu mengakui permintaan untuk konsep gedung serbaneka telah menyusut dengan ketara dengan laporan menunjukkan kemerosotan dalam jualan runcit, mencatatkan kadar pertumbuhan negatif 8.5 peratus di Malaysia untuk suku pertama 2020 berbanding tempoh yang sama setahun lepas.

Pada masa sama, gedung Robinsons di Singapura turut mengalami proses pembubaran yang serupa dengan pelantikan Cameron Duncan dan David Kim dari KordaMentha sebagai penyelesai sementara.

Mengambil contoh kajian mengenai trend runcit, Robinsons berkata peserta nama besar seluruh dunia telahpun keluar daripada industri dan lebih separuh gedung serbaneka di pusat beli-belah akan ditutup dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Begitu juga di Malaysia, industri runcit mencatatkan kadar pertumbuhan terburuk dalam tempoh 33 tahun dengan prospeknya kekal negatif untuk baki bulan tahun ini kerana pengguna dijangka mengetatkan lagi perbelanjaan masing-masing,” katanya.

Dua gedung beli-belah itu terletak di The Gardens Mall dan The Shoppes di Four Seasons Place.

Sementara itu, tertakluk kepada pengesahan, penyelesai yang dilantik berharap gedung-gedung ini akan tetap dibuka pada minggu-minggu mendatang bagi memudahkan penjualan akhir sebelum ditutup.

— BERNAMA

Views:

872
Kongsi :
Previous post Muhyiddin beri bayangan Belanjawan 2021 tumpu usaha perangi COVID-19
Next post COVID-19: Hotel dijadikan pusat kuarantin
Ubah saiz-+=