Sorting by

×

RMK-12 satu pelan menyeluruh dengan sembilan fokus utama – PM

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR 27 Sept – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tujuan itu tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan diperkenalkan.

Kerajaan katanya mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

“Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.

Kerajaan juga katanya berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dengan beberapa matlamat utama dalam tempoh RMK-12

“Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025, kedua purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada tahun 2025.

“Ketiga adalah jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025.

“Keempat ialah pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015,” katanya.

Tambah perdana menteri, sembilan fokus utama dalam RMK-12 turut merangkumi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pemangkin pertumbuhan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Fokus keempat ialah memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam, membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan furang pendapatan.

“Memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia, melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun.

“Kelapan ialah mempercepat pertumbuhan hijau dan akhir sekali ialah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post RMK-12: Lebih banyak peluang kerja berkemahiran tinggi diwujudkan – PM
Next post RMK-12: Peruntuk RM2.25 bilion untuk bantuan rumah rakyat miskin – PM
Ubah saiz-+=