Sorting by

×

RM85.3 JUTA PERKASA PEMBANGUNAN HAL EHWAL ISLAM DI MELAKA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BUKIT PALAH 10 Februari – Jumlah yang besar iaitu sebanyak RM85.3 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri demi kelangsungan dan pembangunan hal ehwal agama Islam di Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri diterajui beliau sentiasa memberikan keutamaan kepada usaha memperkasakan ummah dan menyuburkan Islam di Negeri Melaka.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, amaun RM85.3 juta itu mencakupi perbelanjaan emolumen penjawat awam, guru-guru KAFA, tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), pengurusan pensijilan halal, pembelajaran pelajar, perbelanjaan pembangunan sekolah, masjid dan surau.

“Kerajaan Negeri sentiasa mementingkan kebajikan semua kakitangan, sebab itu, elaun guru-guru KAFA dan tadika JAIM diselaraskan semula termasuklah memberi kemudahan cuti bersalin kepada guru wanita.

“Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri turut memahami bebanan ibu bapa lantas memperuntukan RM360,000 bagi membiayai sebahagian yuran pendaftaran di tadika JAIM melalui Insentif Pelajar Tadika JAIM sebanyak RM100 setiap murid,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bilangan 1, Tahun 2025, di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halem Tawil dan Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad.

Menurutnya, semua inisiatif berkenaan dilaksanakan demi memartabatkan syiar Islam dan meletakkan hal ehwal agama Islam sebagai perkara paling utama di dalam pengurusan pentadbiran diterajui beliau.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, pada 2024 sejumlah RM149 juta sudah dibelanjakan bagi melapangkan dan menjaga kebajikan golongan fakir, miskin, mualaf serta mereka yang berkelayakan di Negeri Melaka.

Katanya, agihan itu dilakukan dalam pelbagai bentuk sumbangan dan penganjuran program yang memartabatkan syiar Islam di Negeri Melaka.

“Maka, untuk tahun ini, pelbagai bentuk program dan skim bantuan telah mula dirancang dan diagihkan seawal Januari 2025 kepada kumpulan-kumpulan asnaf
di Negeri Melaka.

“Antaranya, Skim Bantuan Persiapan Persekolahan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berjumlah RM5.1 juta dan Skim Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal serta pengagihan Fidyah berjumlah RM7.52 juta

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MAIM melalui Zakat Melaka kerana telah menjalankan amanah dengan sebaiknya terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan tumpuan dibawah peruntukan dana zakat tahun semasa serta dana zakat terkumpul yang dikawal selia oleh MAIM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post KOTA MARUDU DILANDA GEMPA BUMI LEMAH PAGI INI
Next post WRUR: RM5.3 JUTA DISALUR UNTUK KEBAJIKAN WARGA PENGKALAN BATU